Untuk Memilih Tajuk Artikel Dalam Blog Ini, Sila Taip Perkataan di sini.

26 Oktober 2014

Ramai Kawan Saya Hendak Senang Dapat Duit, Tak Sedar Ditipu


Semalam ada kawan saya cerita di sebuah pejabat kerajaan di satu daerah tu. Seorang kakitangan terlibat mengajak orang melabur untuk mendapat keuntungan besar. Katanya dia bermodalkan RM 10, 000 permulaan dan dalam beberapa bulan, duitnya sekarang sudah ada melebihi RM 70,000. Dikatakan dah lebih 30 orang dah masuk pelaburan tu.

Sebenarnya mana ada pelaburan yang untung besar macam tu. Semua itu penipu atau skim cepat kaya. Namun, ada saja orang yang menyertainya . Pada mulanya untung tapi keuntungan dia itu kadang-kadang bukan dapat ambil pun. Kemudian orang yang belakang itu akan kecewa kerana rupa-rupanya penipuan.  Yang terpengaruh ini kebiasaannya kakitangan yang masih baru dan belum masak dengan pengalaman penipuan seperti ini. Dan yang menghairankan juga ada juga orang yang sama dan yang beberapa kali kena tipu dengan pelaburan, tetapi masuk juga terjebat dengan perkara seperti ini.

Sekarang ini pula, susah orang nak tahu yang pelaburan itu tipu kerana dia akan guna pelbagai kaedah dan pendekatan. Ada alasan itu adalah pelaburan di bursa saham, forex, komoditi, hartanah  dan sebagainya. Yang menghairankan, semua yang masuk itu dijanjikan keuntungan yang tinggi. Pihak berkuasa sudah sekat melalui media termasuk akhbar tetapi penggunaan internet termasuk facebook, menyebabkan ruang yang banyak untuk sendikit ini menjalankan kegiatannya.

Saya pernah jumpa juga iklan pelaburan atau simpanan yang menguntungkan dan untuk keterangan lanjut sila tinggalkan nombor telefon di situ. Rasa saya, mungkin lepas itu orang itu memberi penerangan atau membuat perjumpaan di mana-mana. Kalau dibuat perjumpaan, antaranya di hotel-hotel mewah untuk menunjukkan kemewahan skim ini. Dengan pujuk rayu, pendedahan dan alunan muziknya, ramai orang kita boleh terpengaruh.

Beberapa Tahun Lepas

Di sebuah pejabat dulu saya lihat ramai kakitangannya pakai kereta baru dan mahal. Bila saya tanya seorang tu, dia kata ramai orang pejabat itu masuk satu pelaburan yang kononnya terlibat dalam syarikat telekomunikasi dan hartanah. Peserta akan dapat bayaran setiap bulan yang memudahkan mereka membayar duit bulanan kereta. Tapi tak berapa lama selepas itu, mulalah pelabur tidak dapat bayaran. Baru mereka sedar yang duit yang dibayar selama ini adalah hasil modal melaburan mereka.

Contohnya mereka masuk RM20 000 dan dijanjikan dengan pendapatan bulanan RM 4,000 seumur hidup. Rupanya 3 kali sahaja dapat duit RM4,000 itu setiap bulan, pelaburan mereka lesap.

Yang menyedihkan saya adalah, mereka ini kesemuanya orang sebangsa dengan saya dan seagama dengan saya. Ramai yang melabur dengan cara buat pinjaman peribadi sebanyak yang mungkin bank boleh bagi pinjaman. Jangan nanti satu hari nanti sendikit pelaburan ini runtuh, mereka semua hilang semangat bekerja kerana sudah banyak hutang. Manakala perbelanjaan hidup untuk makan minum, sewa rumah, bayaran bulanan kenderaan dan sebagainya pun nanti mereka tak boleh tampung kerana hutang dah keliling pinggang.

Untuk tahu lebih jelas, sila klik nama Syarikat pelaburan tersebut. Yer, BNM dah beri amaran. Klik Sini

.....................................................................

(Penipuan Pelaburan Yang Dipetik Dari Fail Polis)

Pada kebiasaannya mangsa akan ditawarkan untuk melabur dalam skim yang memberikan pulangan yang lumayan dan jaminan yang tinggi seperti pelaburan emas dan pelaburan berbentuk sijil dividen.Pada mulanya,syarikat-syarikat ini dapat memberi pulangan dalam bentuk dividen kepada pelanggannya tetapi lama-kelamaan tidak mampu untuk membuat pembayaran kepada semua yang terlibat (skim piramid).Syarikat-syarikat ini dikatakan melakukan kesalahan kerana mengambil deposit wang tunai tanpa mempunyai lesen yang dikeluarkan oleh Bank Negara Malaysia.

Contoh-contoh syarikat adalah seperti Bestino dan G Gold Trading.Syarikat-syarikat ini ada yang masih dalam siasatan dan ada yang telah diambil tindakan oleh Bank Negara Malaysia di mana aset-aset syarikat dan akaun-akaun bank dibekukan kerana menjalankan skim pelaburan tanpa lesen.Ini adalah satu kesalahan di bawah sek:25 Akta Bank dan Institusi-institusi Kewangan 1989 (BAFIA 1989).Hukumannya ialah tidak melebihi 10 tahun penjara atau denda tidak melebihi RM10 juta atau kedua-duanya sekali dan bagi kesalahan yang berterusan,dikenakan denda harian tidak melebihi RM100 ribu sehari.

Kesalahan ini juga boleh disiasat di bawah sek: 4(1) Akta Pengubahan Wang Haram/Pembiayaan Keganasan (AMLATFA) 2001.Hukumannya ialah denda tidak melebihi RM 5 juta atau penjara tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya. 

Pihak polis juga menjalankan siasatan terhadap skim pelaburan yang tidak wujud dan merupakan satu penipuan seperti penternakan ikan air tawar dan projek ternakan ketam di mana biasanya saspek akan menawarkan satu projek atau ternakan dan mangsa diminta supaya memasukkan bayaran ke dalam akaun sebuah syarikat tertentu yang diberi oleh saspek.Setelah wang dimasukkan,mangsa akan tertipu kerana tidak menerima projek atau set ternakan tersebut.Contoh kes yang berlaku di Taiping pada tahun 2009 melibatkan kes tipu melibatkan set ternakan ketam nipah.

Orang ramai diingatkan supaya berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan tawaran-tawaran yang tidak munasabah daripada mana-mana syarikat hanya kerana ingin cepat mengejar keuntungan.Adalah dinasihatkan supaya orang ramai membuat semakan atau rujukan dengan pihak Bank Negara Malaysia sebelum melibatkan diri dengan mana-mana skim pelaburan untuk menentukan samada mempunyai lesen yang sah. 

Read more: Informasi Polis Diraja Malaysia - Kes Penipuan | Galeri PDRM http://galeripdrm.blogspot.com/2010/08/informasi-polis-diraja-malaysia-berhati.html#ixzz3HSemYruU

22 Oktober 2014

Anak Luar Nikah Tak Berdosa Apa-apa (Episod 3)

"Okey... Lepas ini kamu pergi jumpa ayah kamu di JB dan beritahu segalanya termasuk kes kamu kena tangkap khalwat ini". Kata kadi sambil memandang ke arah wanita dan lelaki.

Mereka berdua terdiam.

"Jumpa ayah saya Ustaz?". Kata wanita ini macam terkejut.

"Yer... kamu balik dan bawa anak kamu. Kalau tak dapat jumpa di rumah, jumpa di tempat kerja". Kata kadi. Sebelum itu telah diceritakan yang bapanya kerja di sebuah kilang dan sebelah malam kadang-kadang kerja sambilan pengawal keselamatan di sebuah sekolah.

"Pergilah... Salam dan kalau boleh peluk bapa kamu. Mohon maaf atas apa yang kamu lakukan selama ini, selama 6 tahun. Selagi ayah kamu masih hidup, inilah masanya hendak bermaafan. Kita tak tahu bila Allah nak cabut nyawa bapa kita". Kata kadi lagi.

"Saya yakin, kalau kamu tunjukkan keinsafan kita, mak ayah akan tetap terima kita dan cucu dia yang sudah dilahirkan. Ingat.... dua orang anak kamu tidak berdosa apa-apa. Dia lahir ke dunia ini ibarat kain putih yang suci bersih. Tapi sampai bila kamu berdua hendak hidup berzina sedangkan anak kamu anggap kamu berdua sebagai emak dan ayah dia. Harap jangan sampai dia bersekolah nanti, tentu mengganggu pergaulan mereka di sekolah". Kata kadi.

Tempoh Jaminan

Pasangan ini dibebaskan dengan jaminan dan satu tarikh kira-kira 2 bulan ditetapkan untuk perbicaraan kes khalwat mereka. Mereka mengatakan hendak terus pulang ke JB menaikan bas petang itu bertemu mak dan ayah, semoga berjaya.

Ada Harapan

Dua hari selepas itu, pasangan ini datang ke pejabat dengan muka ceria untuk mengambil surat nikah. Dalam borang tersebut ditulis walinya adalah bapanya. Mereka dijangka bernikah seminggu selepas itu selepas mengikuti kursus pra perkahwinan yang diwajibkan oleh semua bakal pengantin.

"Tuan ada satu pernikahan minggu depan". Kata seorang pegawai yang terlibat urusan pernikahan kepada kadi.

"Oh yer... saya tahu kes ini. Saya dah jumpa pasangan ini di Bahagian Penguatkuasa sebelum ini". Kata kadi.

"Oh... cuma Tuan, perempuan kata bapanya setuju jadi wali tapi  tak mahu datang semasa pernikahan nanti". Kata pegawai tu.

"Tak apalah kalau bapa tak datang dan saya dah agak yang bapanya pasti tak mahu datang. Sila uruskan surat persetujuan bapa sebagai wali. Tahu ker cerita, dia dah lari dari rumah 6 tahun lamanya sampai dapat anak dua luar nikah". Cerita kadi lagi.

"Kesian yer Tuan hidup dia terutama anak dia". Kata pegawai tu. Tengok muka pun macam sedih pegawai tu.

"Yer... sebab tu saya tumpukan pada kes ni sebab memikirkan masa depan anak-anak dia tu. Saya yang suruh dia jumpa bapa dia dalam apa cara sekalipun. Dan alhamdulillah dah dapat persetujuan.

Bernikah Juga Akhirnya

Diringkaskan cerita, pasangan ini bernikah berwalikan bapanya walaupun bapanya tak hadir. Satu surat persetujuan bapa sebagai wali dikemukakan. Sebelum nikah juga, kadi sekali lagi menelefon bapanya untuk menikahkan anaknya.

"Tuan kadi...Saya setuju jadi wali pada anak saya. Saya malu atas apa yang dah berlaku pada anak saya yang seorang ini. Tak tahulah Tuan Kadi, dia seorang saja anak saya yang tak menjadi dan memalukan keluarga kami. Tapi.....". Kata bapanya dalam telefon dan perbualan tersekat kerana bapa menangis teresak-esak.

"Yer Tuan... Insyaallah semuanya akan selesai sebentar lagi. Katanya selepas nikah ini dia akan bawa suami dan anak-anak jumpa Tuan sekeluarga". Kata kadi lagi.

"Terimakasih Tuan Kadi dan saya tak boleh kata apa-apa lagi, saya sedih sangat". Kata bapanya sebelum mengakhiri perbualan.

Baca dari Episod 1, klik sini

21 Oktober 2014

Semua Orang Tidak Dapat Menahan Air Mata Di Padang Arafah Hari Jumaat Itu


Suasana di Padang Arafah hari Jumaat itu bukanlah menjanjikan keselesaan seperti yang kita nikmati selama ini. Tidak kira apa pangkat, jawatan, keturunan dan kekayaan kita, semua sama saja turut merasai keadaan itu. Walaupun sepayah mana kita, itu baru sedikit gambaran dan ujian sebelum kita dihimpunkan di Padang Mahsyar kelak. Waktu itu, sangkala ditiup dan membangkitkan seluruh umat dari dulu hingga ke akhir penghujung hayat dunia, mereka dikumpulkan di Mahsyar dalam pelbagai keadaan.

Tidak Dapat Menahan Air Mata

Jemaah haji sekalian di Maktab 90 Jemaah Haji Malaysia mengaminkan doa yang dibaca oleh seorang ustaz. Ramai yang tak kenal dengan suara ustaz ini kerana masing-masing tidak melihat siapa pembaca doa ini. Yer.. hampir ke semua jemaah haji menangis semasa doa ini dibaca. Amat menarik doa ini dan alunan bacaannya yang cukup menyentuh kalbu.

Beberapa hari selepas itu saya terus tertanya-tanya, siapakah pembaca doa tersebut. Ada juga yang bertanya saya dan menyangka saya yang membaca doa pada hari itu, tapi bukan saya. Saya juga bertanya rakan-rakan kalau-kalau ada rakaman video atau suara semasa doa itu dibaca, tapi tak berjumpa. Selepas bertanya beberapa orang, akhirnya saya temui iaitu Ustaz Badr Al-Hakimi, pensyarah Politeknik Muadzam Syah, Pahang. Doa itu diberikan kepada saya, terimakasih diucapkan.

Cuba bayangkan, kenapa semua menangis di Padang Arafah hari itu? Cuba hayati dan bayangkan suasana kalau kita berada di Arafah dan mendengar bacaan doa yang menyentuh kalbu seperti ini. Saya salin dan paparkan semula doa ini untuk tatapan kita bersama. Semoga kita mendapat manfaat.

..............................................................................................

DOA Arafah

Ya Allah Ya Tuhan kami...
Pada hari Jumaat yang mulia ini, kami berkumpul di bumi Arafah yang penuh keberkatan untuk kami menadah tangan kehadrat Mu. Kami bermunajat, kami bermohon, kami berdoa….dengan harapan agar kau makbulkan segala doa-doa kami ini.

Ya Allah Ya Tuhan kami...
Kami ini hamba Mu yang amat banyak berdosa pada Mu ya Allah…..Ampunilah segala dosa-dosa kami dan maafkanlah kesilapan kami  zahir dan batin.

Ya Allah...
Ampunilah dosa-dosa kami, dosa kedua ibubapa kami, dosa keluarga kami , dosa masyarakat kami dan dosa seluruh ummat Islam yang telah mati dan yang masih hidup.

Ya Allah Ya Tuhan kami...
Kami pohonkan apa yang telah dipohonkan oleh kekasih kami Saidina Rasulullah s.a.w. , dan kami meminta perlindungan dari apa yang pernah diminta perlindungan oleh Rasulullah saw.

Ya Allah Ya Tuhan kami...
Kami pohonkan syurga tanpa hisap, dan berilah kekuatan taufiq dan hidayah kepada kami, supaya kami dapat melakukan sebab-sebab  yang membawa kami ke arahnya. Engkau selamatkanlah kami Ya Allah dari sebab-sebab yang membawa kami ke neraka.
لا حول ولا قوة إلا بالله العلي العظيم

Ya Allah Ya Tuhan kami...
Engkau sahajalah yang mengetahui kelemahan diri kami zahir dan batin. Berilah kekuatan, taufiq dan hidayah kepada kami supaya kami dapat memperbaiki diri kami Ya Allah.
Tambahkanlah Ya Allah kepada kami, ilmu, iman dan amal. Hidupkanlah kami dalam Islam dan matikanlah kami dalam Islam.

Ya Allah Ya Tuhan kami...
Kami pohon daripada Mu ya Allah, iman yang sempurna, ilmu yang memberi manfaat, rezeki yang halal, anak yang soleh, rumahtangga yang bahagia, usia yang berkat, doa yang mustajab, hajat yang tertunai, kesihatan yang berterusan, hutang  yang terbayar, keselamatan di dunia ini dan di akhirat nanti.

Ya Allah Ya Tuhan kami...
Engkau sahajalah yang mengetahui segala yang berlaku di hati kami. Hidupkanlah hati ini dan sampaikanlah hati ini kepada Engkau. Sembuhkanlah segala penyakit yang ada di dalam hati kami, selamatkanlah hati kami dari sifat-sifat yang keji dan jauhi kami dari perkara-perkara yang boleh mematikan hati kami.
لا حول ولا قوة إلا بالله العلي العظيم

Ya Allah Ya Tuhan kami...
Jadikanlah hati kami hati yang sentiasa menyedari akan hakikat ketuhanan dan keagungan kerajaan Engkau dan masa depan kami di akhirat nanti.
Ya Allah Ya Tuhan kami.... Jadikanlah kami ini hambamu yang hanya mengabdikan diri kepadamu dengan sebaik-baiknya, berilah kekuatan taufiq dan hidayahMu  kepada kami, supaya dapat kami lakukan apa-apa yang diperintahkan oleh Engkau dan meninggalkan segala apa yang dilarang oleh Engkau.

Ya Allah Ya Tuhan kami...
Jadikanlah hati kami ini hati yang sentiasa menyedari masa depan kami di akhirat nanti dan jadikanlah hati hambamu ini sentiasa bersedia untuk menghadapi masa depan kami selepas kematian nanti.

Ya Allah Ya Tuhan kami....
Hidupkanlah hati kami dengan iman dan matikanlah hati kami dengan iman, selamatkanlah iman kami dari segala gangguan syaitan semasa kami menghembuskan nafas yang akhir nanti…Ya Allah….Ya akramal akramin….Ya mujibas saa’iliin.

Ya Allah Ya Tuhan kami...
Selamatkan kami semasa berada dalam kubur, jadikanlah kubur kami taman dari taman-taman syurga, selamatkanlah kami dari segala angkara azab kubur dan janganlah Engkau jadikan kubur kami salah satu dari lubang-lubang neraka.

Ya Allah Ya Tuhan kami...
Selamatkanlah kami semasa dalam perjalanan menuju mahsyar. Selamatkanlah kami Ya Allah semasa berada di padang mahsyar dan masukkanlah kami ke dalam 7 golongan orang yang mendapat bayangan naungan arasy Mu Ya Allah

Ya Allah Ya Tuhan kami...
Ampunkanlah dosa kami dan maafkanlah kesilapan kami zahir dan batin semasa kami dihisab. Hisablah kami Ya Allah dengan hisab yang sedikit, berilah peluang kepada kami untuk mendapat syafaat Nabi kami Muhammad s.a.w.

Ya Allah Ya Tuhan kami...
Jadikanlah hambaMu ini hamba yang berjaya dalam hidup ini dan berjaya menerima suratan amal dengan tangan kanan.

Ya Allah...
Berilah kesempatan kepada kami meminum air kolam Nabi kami Alkauthar. Selamatkan kami semasa menyeberangi titian siratul mustaqim dan masukkanlah kami ke syurgaMu bersama-sama orang-orang yang mulia di sisi Mu Ya Allah.
لا حول ولا قوة إلا بالله العلي العظيم

Ya Allah Ya Tuhan kami...
Apalah kiranya Engkau akan lakukan pada petang, saat dan ketika ini kepada hambuMu yang hina ini, yang mengaku berdosa dan bersalah, yang merayu kepadaMu di atas kejahatan, yang bertaubat kepadaMu kerana dosanya, yang memohon keampunan kepadaMu kerana kezalimannya, yang mengharap kemaafanmu kerana kesilapannya, yang merayu kepadaMu supaya tercapai segala hajatnya, yang mengharapkan kelimpahan rahmatMu pada tempat wuquf ini, walaupun dengan dosa yang begitu banyak laksana buih di lautan.

Ya Allah, kami sekalian keluar menuju kepadaMu dan berhenti di perkarangan rumahMu, kepadaMu lah kami meletakkan segala harapan kami. KepadaMu lah kami memohon kemurahan rahmat, kami takut kepada dosa kami. Oleh itu kepadaMu lah kami berlindung dari bencana dosa kami.

Ya Allah Ya Tuhan kami...
Engkaulah yang memiliki seluruh hajat orang-orang yang memohon, yang mengetahui seluruh kandungan hati orang-orang yang tidak merayu.  

Ya Tuhanku...
Engkau telah sediakan sajian kepada setiap tetamu dan kami sekelian adalah tetamu kepadamu, oleh itu kurniakanlah syurga sebagai sajian Mu kepada kami.

Ya Allah Ya Tuhan kami...
Setiap rombongan dikurniakan hadiah, setiap pemohon dikurniakan pemberian, setiap yang berharap dikurniakan habuan, setiap yang memohon rahmat mendapat rahmatMu. Maka kami sekalian datang berkunjung ke rumahMu yang mulia ini dan berada di tempat ibadat yang agong ini dengan harapan mendapat rahmat dan keampunanMu. Oleh itu janganlah Engkau hampakan harapan kami, ya Allah.

Ya Allah Ya Tuhan kami...
Perkenankanlah permohonan kami ini, mustajabkanlah doa kami ini Ya Allah, dengan berkat nabi kami Muhammad s.a.w. dan dengan berkat amalan kami yang paling ikhlas kepadaMu Ya Allah.

Allah Humma Ya Allah, wahai Allah Yang Maha Mendengar.
Tidak mungkin kaki kami mampu melangkah ke tempat ini kecuali Engkau yang menguatkannya.
Tidak mungkin tergerak di hati kami ingin menunaikan haji kecuali Engkau yang menggerakkannya.
Tidak mungkin seringgit pun yang kami miliki kecuali Engkau yang memberikannya.
Tidak mungkin kami sihat kecuali Engkau yang menyihatkannya.
Tidak mungkin kami dapat membantu tubuh ini berwudhuk kecuali Engkau yang mengajarkannya.
Tidak mungkin lidah ini dapat menyebut namaMu kecuali Engkau  yang membimbing kami, Ya Allah.

Ya  Allah Ya Tuhan kami...
Betapa ramai yang Engkau ciptakan, namun betapa sedikit yang berpeluang berada di bumi Arafah ini Ya Allah.
Ya Rabb…
Dengan apa kami mensyukuri nikmat haji ini ya Allah, kecuali berharap padaMu
Tarimalah haji kami Ya Allah.
Terimalah haji kami Ya Rahman.
Terimalah haji kami Ya Rahim.

االلهم اجعل حجنا حجا مبرورا وسعيا مشكورا , وذنبا مغفورا , ربنا ظلمنا أنفسنا , وإن لم تغقر لنا وترحمنا لنكون من الخاسرين 
Ya Allah...
Ampunilah seluruh dosa-dosa kami, Engkau menjanjikan haji yang mabrur, bersih dari segala dosa seperti bayi yang baru dilahirkan. Alangkah indahnya jika Engkau pilih kami yang demikian itu ya Allah.

Ya Allah...
Engkau Maha Mengetahui betapa menderitanya diri kami dengan lumuran dosa.
Betapa sengsaranya hidup kami dengan menutup aib.
Betapa hinanya diri kami dengan bergelumang di dalam maksiat.
Bersihkanlah diri kami Ya Allah.
Bersihkanlah dosa kami Ya Allah.
Ampunilah dosa kami kepada kedua ibu bapa kami.
Ampunilah jika mereka menyesal melahirkan kami.
Ampunilah dosa kami kepada keluaga kami Ya Allah.
Ampunilah dosa kami kepada isteri kami.
Ampunilah dosa kami kepada suami kami.
Ampunilah dosa kami kepada anak-anak kami.
Jangan biarkan mereka menuntut kami di akhirat nanti.
Berikanlah kesempatan kepada kami untuk memperbaiki segalanya

رينا هب لنا من أزواجنا وذرياتنا قرة أعين واجعلنا للمتقين إيمانا

Ampunilah Ya Allah jika di sekujur tubuh kami ini adanya harta yang haram. Jika di rumah kami banyak perkara haram yang engkau murkai. Padahal Engkau mengharamkan masuk ke syurga sesiapa yang dagingnya tumbuh dari sumber yang haram.

Berikanlah kesempatan untuk kami menyucikan diri dari harta yang haram Ya Allah.
Cukuplah diri kami dengan rezekiMu yang halal.
Ya Allah, ampunilah kami jikalau kami sering menzalimi hamba-hamba Mu yang lemah.
Engkau peliharalah diri kami ya Allah dari sebarang kezaliman dan menzalimi.

يا سميع عليم
Duhai Tuhan Yang Maha Mendengar.
Hanya Engkaulah tumpuan harapan kami.
Jadikan kaum muslimin ini menjadi suami yang benar.
Menjadi ayah yang jujur.
Menjadi lelaki yang soleh.
Jadikanlah kaum muslimah ini isteri yang solehah.
Menjadi ibu yang solehah.
Menjadi muslimah yang terpelihara.
Kurniakanlah kepada kami Ya Allah.
Keturunan yang lebih baik dari kami.
Lindungi dari kederhakaan dan kehinaan dunia dan akhirat.

Ya Allah...
Berkatilah sisa umur kami.
Berkatilah rezeki yang Engkau kurniakan kepada kami.
Berkatilah ilmu yang Engkau kurniakan.
Berkatilah sisa umur kami…

 اللهم اغفر للمؤمنين والمؤمنات ، المسلمين والمسلمات ، الأحياء منهم والأموات

Ya Allah, selamatkanlah umat Islam di seluruh dunia.
Allahumma inna naj'aluka fi nuhuri a’daaina……

Ya Allah...
Bantulah saudara-saudara kami umat Islam dan para mujahidin …di Palestin, di Syria, di Iraq, di Yaman, di Myanmar dan seluruh alam.
Ya Allah, bantulah mereka dan janganlah Engkau membantu musuh melawan mereka.
Ya Allah, bantulah mereka dan janganlah Engkau menolong musuh melawan mereka.
Ya Allah, berilah mereka kepandaian untuk menghadapi musuh-musuhnya

Ya Allah, tepatkanlah bidikan mereka dan kukuhkanlah kaki-kaki mereka serta berilah taufiq-Mu pada setiap langkah mereka.
Ya Allah, satukanlah barisan mereka dan kumpulkanlah segala upaya mereka.
Ya Allah, jadikanlah jihad mereka di jalan-Mu dan janganlah haramkan pahala jihad mereka atas kami.

Ya Allah, tolonglah kaum muslimin yang dizalimi di semua tempat.
Ya Allah, tolonglah mereka dan perbaikilah hubungan mereka.
Ya Allah, binasakanlah golongan yang menzalimi umat Islam, goncangkanlah dan hancurkan mereka.
Ya Allah, cerai beraikan barisan mereka dan luluh lantakkan kalimat mereka.
Ya Allah, janganlah Engkau memberikan kedudukan yang baik bagi mereka di muka bumi ini.
Ya Allah, lemparkanlah rasa takut dalam hati-hati mereka.


Ya Allah, selamatkanlah negeri kami Ya Allah.
Engkaulah Yang Maha Tahu keadaan negeri kami…..Jadikan negeri kami negeri yang memancarkan cahaya Islam…..Menjadi negeri baldatun taoyyibatun wa rabbun ghafuur…..
Ya Allah……Bangkitkan untuk kami para pemimpin yang mencintaiMu. Mencintai NabiMu, mencintai umatMu dan mengakkan syariatMu ya Allah.

Ya Allah…. Tuhan Yang Maha Agung.
Hanya pada Mu kami meletakkan harapan pada hari yang tersangat mulia ini ya Allah.
Kau terimalah segala pengampunan kami dari segala dosa-dosa kami ya Allah.
Izinkanlah kelak kami bertemu denganMu ya Allah.
Bertemu dengan RasulMu.
Bertemu dengan kekasih-kekasihMu.

ربنا آتنا في الدنيا حسنة وفي الآخرة حسنة وقنا عذاب النار
ربنا تقيل منا إنك أنت السميع العلسم وتب علينا إنك أنت التواب الرحيم
سبحان ربك رب الغزة عما يصفون وسلام على المرسلين والحمد لله رب العالمين


DOA ARAFAH 1435 H
edited by Badr al-Hakimi al-Haj