Untuk Memilih Tajuk Artikel Dalam Blog Ini, Sila Taip Perkataan di sini.

28 Julai 2013

Lagi Pengutip Derma Haram Kena Tangkap, Bila Nak Serik

KLUANG - Seorang lelaki berusia 52 tahun yang sedang asyik membuka kaunter mengutip derma di sebuah pasaraya di daerah ini ditahan Bahagian Penguatkuasa Jabatan Agama Islam Johor (Jaij) cawangan Kluang, petang kelmarin.

Lelaki berkenaan ditahan kira-kira jam 5 petang selepas pegawai Jaij menyamar sebagai pengunjung untuk mendekati lelaki berkenaan selepas jabatan itu menerima maklumat daripada orang awam.

Ketika penyamaran, lelaki berkenaan menawarkan beberapa risalah dan barangan yang kononnya dijual untuk kutipan amal bagi sebuah sekolah di utara tanahair.

Namun, apabila anggota memperkenalkan diri sebagai penguatkuasa, lelaki tersebut bertindak cuba menunjukkan surat sokongan untuk membuat kutipan tetapi tiada satu surat pun yang menyatakan kebenaran daripada pihak Jaij.

Menurut Pegawai Tadbir Agama Daerah Kluang, Mohd Khalil Mohd Noor, lelaki berkenaan ditahan kerana gagal mengemukan surat kebenaran dan semua barang  miliknya disita.

“Lelaki tersebut akan didakwa di bawah Seksyen 106(4) Enakmen Pentadbiran Agama Islam Johor yang membolehkan individu terbabit dikenakan hukuman denda RM3,000 atau penjara dua tahun jika  sabit kesalahan.

“Barang yang disita ialah sejumlah wang tunai hasil kutipan tabung derma, tabung kutipan derma, risalah, cawan untuk jualan amal, air penawar dan lencana,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Mohd Khalil turut mengingatkan orang ramai agar tidak mudah terpedaya dengan slogan kutipan derma yang kononnya untuk rumah kebajikan atau pertubuhan anak yatim kerana tidak diketahui tujuan sebenar kutipan tersebut dilakukan.

Jelasnya, apa yang dirisaukan ialah jika kutipan tersebut bukan untuk kegunaan seperti yang dinyatakan sebaliknya untuk kepentingan individu atau sindiket yang tidak bertanggungjawab.

“Malah, pihak kami juga tidak pernah mengeluarkan sebarang surat kebenaran untuk golongan ini mengutip derma,” katanya.

1 ulasan:

  1. Depan Mydin, Bandar Baru Uda ni pun selalu ramai je pengutip derma..kejap yg datang budak bawak buku dan kalender, kejap kan makcik/ pakcik dgn bawak resit derma, kejap kan org jual ubat2 la...ntah la...Napa lah mereka ni tak nak bekerja. Dulu saya pun bukan org senang, tp tak pernah pulak jadi pengutip derma. Saya kerja jer apa yg ada..masuk kilang, kerja kebun, buat kuih, kutip kelapa sawit...mcm2 la...

    BalasPadam

Dipersilakan komen.