Untuk Memilih Tajuk Artikel Dalam Blog Ini, Sila Taip Perkataan di sini.

31 Julai 2013

Tak Baik Menipu Pembeli, Naikkan Harga Hujung Ramadhan


Tadi saya ke sebuah Bazar Ramadhan dan beli beberapa makanan. Yang terakhir sekali, saya berhenti di sebuah gerai jual sejenis makanan ni. Saya sebelum ini sudah 3-4 kali juga beli benda yang sama di gerai itu dengan harga RM 2.  Tapi kali ini, selepas makanan itu dibungkus, dia kata harganya RM 3. Saya cakap pada lelaki lingkungan umur 20-an atau 30-an ini. Tiada tanda harga diletakkan, dulu ada harga RM2 dipamerkan.

"Dik... Sebelum ini dah banyak kali saya beli  harga 2 ringgit, kenapa hari ni 3 ringgit?" Tanya saya spontan. Sambil tu saya hulurkan duit RM 3 pada dia. Yer ler, jangan nanti dia kata saya berkira sangat dengan harga RM1 perbezaan itu.

"Tak abang, itu tempat lain. Yang ini memang harga 3 ringgit" Kata lelaki itu.

"Dik...Saya dah banyak kali juga beli kat sini, tapi harganya 2 ringgit kan". Kata saya dan lelaki itu tersipu-sipu. Nampak dia macam malu dan tak terkata apa.

"Okeylah dik, terima kasih yer" Kata saya. Terus saya jalan selepas beli.

Dengar Perbualan

Saya ke kedai sebelah sana dan tak lama lepas tu saya patah balik lalu depan gerai tadi. Saya dengar perbualan lelaki ini dengan wanita berumur, mungkin emak dia.

"Kenapa orang tadi kata harga macam ni?" Tanya mak dia.

"Tak mak... ini lain. Ini saiz sama tapi letak  (XYZ) lebih". Kata lelaki itu.

Saya dengar saja dah tak menoleh pun. Dalam hati saya, memang sengaja dia naikkan harga bila dah hujung ramadhan ni. Harap lepas ini peniaga terutama untuk orang berbuka ini, terbuka hati dia. Berniaga ini satu ibadat, nak bantu orang, bukan nak menipu dan nak untung saja. Tengoklah nanti, walaupun mereka dapat banyak duit, tapi lihatlah nanti di mana keberkatannya harta yang diperolehi. Dah banyak cerita pasal orang yang dapat duit yang tak berkat yang kesudahannya tidak ke mana juga duit itu.

Jangan Terlepas Pandang

Saya lihat semakin hujung ramadhan, penguatkuasaan dari pihak berkuasa makin longgar. Minta maaf, bukan saya nak salahkan atau perkecilkan pihak berkuasa kita. Tapi mungkin mereka banyak keutamaan tugas, bersimpati dengan peniaga atau terlepas pandang. Soal tanda harga memang disyaratkan di dalam lesen berniaga di bazar, tapi nampaknya semakin banyak gerai yang tak ada tanda harga. Kalau ada pun, bukan keseluruhan makanan ada harga, sebahagiannya saja. Contohnya jual 8 jenis makanan, yang ada harga cuma 2 makanan saja. Pada saya, walaupun dah penghujung ramadhan, penguatkuasaan perlulah berjalan terus.

Teguran saya ikhlas bukan nak salahkan pihak lain. Bukan semua peniaga bazar ramadhan yang sebegini, malah kebanyakan mereka berniaga dengan ikhlas. Tapi oleh kerana seorang dua buat hal begini, maka boleh memberi gambaran yang tidak baik kepada peniaga lain.

Peraturan yang ditetapkan adalah untuk melindungi pembeli, tetapi ramai lagi pembeli yang berpendapatan rendah dan ala kadar saja turut terpedaya. Dalam kes tadi, kalaulah diletakkan harga RM 3 pada makanan itu, sudah tentu saya pergi ke gerai lain yang harganya lebih murah atau lebih berkualiti lagi. Berapa ramai yang terkena ?

Servis Kereta

Seorang kawan saya tadi servis kereta iaitu tukar minyak hitam dan oil filter. Minyak dan oil filter dia bawa sendiri. Bayaran yang dikenakan adalah RM 30. Sepatutnya kalau saya, harganya RM 10 atau paling mahal pun RM 15 sahaja. Seorang lagi kawan saya ganti minyak gear dan plak, kena upah RM 45. Harga yang sepatutnya hari biasa adalah sekitar RM 30, itupun ada kedai yang kasi harga lebih murah lagi.

Jadi peniaga suka letak harga lebih tinggi kerana nak untung lebih. Kebanyakan kereta kena servis untuk jalan jauh balik Raya nanti. Jadi, pada pemilik kereta, saya ingatkan, tanya dulu upahnya berapa, jangan main buat saja. Kalau rasa mahal, pergilah kedai lain, beri pengajaran pada peniaga macam ni.


Bercerai Kerana Lelaki Kaki Nombor Ekor

Hari ini saya menerima beberapa surat pengesahan cerai dari Mahkamah Syariah. Lebih kurang 10 kes yang dibicarakan, kebanyakannya pasangan berusia muda. Umur paling tinggi 38 tahun, paling rendah 21 tahun yang saya nampak dalam surat tu. Saya tertarik dengan satu kes perceraian yang sudah disahkan oleh mahkamah iaitu perceraian secara taklik yang Hakim mengesahkan jatuh talak satu.

Kaki Caii Nombor

Lelaki ini umur akhir awal 30-an kerja swasta dikatakan selalu berbalah dengan isterinya lewat 20-an, tidak bekerja. Punca pertengkaran dikatakan kerana sikap si suami yang selalu beli nombor ekor sehingga mengabaikan nafkah anak dan isteri. Dikatakan si suami sudah ketagih main nombor ekor ini sejak belum berkahwin lagi, sehinggalah dikurniakan 2 orang anak. Setiap kali isteri menegur, akan jadi pertengkaran yang dahsyat, sehinggalah  satu hari itu keluar perkataan dari mulut suami iaitu,

"Kalau awak jumpa slip nombor ekor dalam rumah ini, jatuh talak". Kata suami dalam keadaan marah dan mengugut isterinya supaya jangan menegurnya lagi.

Tak berapa lama lepas itu, si isteri menyelongkar dalam almari baju dan menemui beberapa helai slip nombor ekor. Sebenarnya memang si isteri dah tahu tempat suami simpan nombor itu. Si isteri kemudian mengadu kes ini kepada bapanya dan bapanya mencadangkan supaya diadukan kes ini ke pejabat agama dan mahkamah syariah. Hakim akhirnya mengesahkan jatuh talak satu.

30 Julai 2013

Objek Misteri 'Orang Rukuk' Sempat Dirakam, Kejadian Dalam Bulan Ramadhan


Kehadiran objek seperti cahaya datang dari dahan pokok di hadapan rumahnya dianggap sebagai satu rahmat pada bulan puasa dan memberi keinsafan dalam diri apabila ia menjelma sebelum subuh, kelmarin di Kota Bharu, Kelantan.

Irfan Mat Daud, 47 dari Kampung Chekok Tengah, Jalan Rambutan Rendang, di sini berkata, objek tersebut dilihatnya kira-kira jam 4.30 pagi semasa dia bangun untuk bersahur.


“Saya pulang dari kerja pembersihan kira-kira jam 4 pagi dalam keadaan hujan rintik dan cukup sejuk pagi itu, malah lebih menghairankan, pokok-pokok dilihat ‘menunduk’ dan layu, muncul seketika sahaja.
 
“Selepas berada di dalam rumah, saya menyelesaikan solat hajat kerana berasakan malam tersebut sangat pelik. Kemudian, saya rasa mahu mengambil gambar di luar rumah apabila melihat pokok seperti kelayuan,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.

Irfan berkata, dia melihat terdapat satu objek putih yang dilihat dengan mata kasar seperti kapas yang sedikit bergerak dan dia tertarik untuk merakam gambar objek berkenaan dan apabila dilihat melalui rakamannya, ia seperti orang rukuk dalam solat.

Kata Irfan, dengan rakaman gambar yang dilakukannya, dia menanyakan hal tersebut kepada beberapa ustaz yang dikenali dan rata-rata mereka mengatakan ia satu rahmat dari ALLAH dan memberi keinsafan kepada saya serta keluarga untuk melipat gandakan amalan pada bulan mulia ini.

Katanya, perkara itu dianggap satu perkara baik dan berharap ia mampu memberi kesedaran dan keinsafan kepada semua umat Islam.

Kursus Pra Perkahwinan Hujung Minggu Ni



Kepada sesiapa yang berminat mengikuti Kursus Pra Perkahwinan di Pejabat Kadi Kluang pada 3-4 Ogos ini, Sabtu dan Ahad, sila daftar segera. Kursus dimulakan jam 8.00 pagi Sabtu. Bayaran kursus hanya RM 100 pada bulan Ramadhan, kebiasaannya RM 120.

Sila daftar segera melalui mana-mana pegawai atau kakitangan Pejabat Kadi Kluang atau berdaftar dengan saya melalui email   kadikluang@yahoo.com . Kursus terhad kepada 100 peserta sahaja.

29 Julai 2013

Jangan Berhenti Berlari: Buku Tulisan Dr Zaharudin Abdul Rahman

Dalam perjalanan saya Sabtu lepas dari Batu Pahat ke Kluang selepas menyampaikan ceramah, saya singgah di sebuah kedai buku di Parit Raja. Saya jumpa satu buku tulisan Zaharuddin Abdul Rahman yang bertajuk 'Jangan Berhenti Berlari', buku setebal 431 mukasurat. Saya baca sedikit sisi kandungannya di kedai itu.

Tahulah saya, ini buku kisah peribadi Zaharudin merantau ke negara orang. Sempat saya baca di kedai itu kisah beliau di Jerman yang terkenal dengan Negara pengeluar kereta dunia. Diceritakan dalam buku itu, lebuhraya di Jerman ada yang tidak mempunyai had laju. Jika kita memandu di lebuhraya itu, kita boleh pandu selaju mana kita mahu.
Siapa Zaharuddin Abdul Rahman

Nama ini tidak asing lagi di negara kita. Beliau seorang tokoh yang banyak membicarakan mengenai isu-isu 'Fiqh Kontemporari' seperti perbankan Islam, Jualan Lansung (MLM), insuran, selain ibadah dan mualamat.

Pengalaman Menarik

Semasa saya menulis artikel ini, saya sudah habiskan separuh dari buku ini dalam masa 3 hari. Seronok saya baca buku ini terutama pengalaman beliau melanjutkan pelajaran ke peringkat Master di Jordan sedangkan ijazah beliau adalah universiti tempatan. Jarang sekali kita jumpa seorang yang ijazah tempatan boleh buat Master ke Negara Arab yang menggunakan Bahasa Arab sepenuhnya.

Phd di UK

Kemudian Zaharudin buat Phd di UK. Persoalan juga pada kita dan jarang orang buat. Ijazah pertama di Malaysia guna Bahasa Melayu, Master di Jordan guna Bahasa Arab kemudian Phd di UK guna Bahasa Inggeris. Bagaimanapun, Zaharudin berjaya dengan cemerlangnya di Jordan dan UK. Bila saya baca buku ini, saya sendiri datang semangat bahawa kita perlu mengejar ilmu pengetahuan selagi kita ada umur. Pada saya yang dah lama meninggalkan dunia universiti ini, rasa ada juga terlintas untuk ke universiti semula.

Oleh kerana kekangan kerja dan tanggungjawab saya, sebenarnya universiti yang saya maksudkan itu bukanlah hendak melanjutkan pelajaran lagi. Tapi, rasa minat dan keazaman untuk menggali dan menambah ilmu dengan banyakkan membaca buku. Sekarang sudah ada tokoh agama yang tidak ada sijil tinggi dari universiti untuk ditayangkan, tapi ilmu mereka cukup tinggi sehingga mengalahkan orang yang bertaraf profesor. Ada juga sekadar sekolah menengah agama, tapi lepas itu dia rajin membaca dan mendengar orang mengajar. Orang ini sebenarnya lebih tinggi ilmunya dari orang yang ada sijil sana sini. Ada orang itu setakat belajar sekolah pondok saja atau berguru dengan datang ke rumah guru saja, tapi ilmu mereka cukup tinggi. Untuk berjaya, perlu berusaha walau pada zahirnya nampak sangat payah tetapi berkat usaha, kejayaan menanti kita.

Merantau ke Negara-negara

Dalam buku ini diceritakan pengalaman Zaharudin merantau ke beberapa Negara Arab, Afrika Utara dan Eropah semasa beliau di sana. Banyak isu yang bersangkutan dengan umat Islam disentuh oleh penulis, antaranya perbezaan mazhab dan adat kebiasaan orang Islam di sana. Diceritakan, di sebuah Negara Eropah, masjid di sana baca khutbah Jumaat sebelum waktunya. Soalnya, adakah sah solat Jumaat kita ?

Kalau orang Johor tanya saya, sahkah di negara kita kalau pak imam baca khutbah Jumaat sebelum waktunya, pasti saya kata tidak sah solatnya. Tapi, adakah mana-mana mazhab yang mengharuskannya ? Memang menarik kita baca kupasan Ustaz Zaharudin dalam isu ini.

Anak Dara Maghribi Senang Nak Kawin Lelaki Malaysia

Diceritakan juga kisah penulis melawat Manghribi. Yang saya seronok baca, katanya anak dara Maghribi mudah berkahwin dengan orang luar terutama Malaysia dan mereka hormati orang kita. Katanya tak kisah juga kalau jadi isteri kedua, hehe. Ada seorang kawan sekelas saya dulu belajar di Maghribi, katanya gadis sana cantik-cantik. Jadi, nak tau betul ke tidak, masukkan le negara Maghribi kalau melawat negara-negara belah sana.

Salji Melumpuhkan UK

Diceritakan dalam buku ini, UK dilanda salji besar sehingga melumpuhkan negara tersebut. Macam kelakar juga, kerana negara mereka selalu kita tengok kat TV selalu dilanda salji. Peliknya,  ramai bijak pandai dan pakar yang kalah dengan salji. Setinggi mana ilmu mereka, sajli pun mereka tak tahu nak atasi. Sehingga ekonomi dan sosial negara tersebut lumpuh sepenuhnya kerana sajli ini. Inilah kekuasaan Allah Taala untuk kita terus memikirkan kekuasaan Allah sebagai yang Maha Besar.

Buku setebal ini terjual di kedai dengan harga RM 35 dan saya dapat diskaun 10 persen lagi. Pada saya, ilmu yang saya dapat dengan membaca buku ini lebih tinggi nilainya. Insyaallah, saya cuba tamatkan pembacaan buku ini beberapa hari lagi.
SELAMAT MEMBACA.

Episod Kedua Mengenai Ustaz Zaharudin Berpoligami, klik sini

28 Julai 2013

Main Mercun Memang Best, Saya Pun Join Sekali... Hehe

Masa kecil-kecil dulu banyak le, main mercun, bukan perkara rahsia lagi. Biasa le, kat kampung, kawan-kawan ramai. Nak beli kat kedai pun senang. Saya percaya, dari dulu memang main mercun ni diharamkan dan boleh diambil tindakan oleh pihak berkuasa. Tapi, macammanapun,  main mercun ni susah nak kawal atau halang.

Saya Pernah Cedera Main Mercun

Pengalaman cedera main mercun pun saya ada. Masa saya tingkatan 4, mercun meletup di tangan kiri. Mercun papan warna merah, main dalam gelap pakai ubat nyamuk. Berdarah dan bengkaklah tangan dan jari kiri sampai kena baju. Biasa le, bila dah kena camtu, diam saja nanti abah tahu kena marah pulak. Serik-serik juga, tapi lepas seminggu main semula mercun papan tu, bukan senang nak berhenti.

Nasihatkan kepada sapa main mercun kena ada cara, jangan sampai bahayakan diri. Sekarang mercun sekarang makin bahaya, letupan dia lagi kuat. Mercun papan yang saya cerita tu mungkin dah tak ada lagi. Sekarang mercun bola, letupan dia 2, 3 kali ganda lebih kuat dari mercun papan tu. Dulu mercun papan, pembalut dia kertas, sekarang plastik, saiznya lebih besar. Kalau mercun tu meletup kat tangan, saya percaya, tangan boleh berdarah atau mungkin hancur.

Orang Dewasa Ramai Main Mercun, Termasuk Saya

Dah dewasa ni pun saya masih main mercun, beberapa tahun lepas. Bukan apa, seronok melayan dan dengar letupan tu. Rasa dapat kepuasan pulak main mercun ni. Puas apa ? Susahlah nak cerita, macam orang memancing ikan juga, orang tak memancing mana tahu syoknye. Main mercun ni bukan kanak-kanak saja, orang dewasa pun ramai. Yer le, dulu masa kanak-kanak  mana ada mercun yang lebih kuat meletup camni.  Lagipun dah dewasa ni kira dah berduit, dulu masa kecil mana ada duit sangat nak beli mercun, mintak duit bapak je. Jadi benda ni susah nak berhenti.  Kalau nak main mercun tu, mainlah. Bahaya atau tidak, fikirlah sendiri. Kanak-kanak jangan sesekali main mercun bola ni atau yang sama waktu dengannya, bahaya....
Cara Main Mercun Bola

Jangan main dalam gelap, nanti tak nampak sumbu dia, sumbu dia laju. Jangan pakai ubat nyamuk, gunakan mancis atau pemetik api, barulah selamat. Haram main mercun ni, memanglah haram, tapi benda seronok. Kalau dah nak main tu, pandai-pandailah jaga keselamatan

Main Mercun Satu Kesalahan Jenayah

Yang saya tulis hari ni adalah pengalaman-pengalaman peribadi saya jer. Apa yang saya cerita ini, baik jadikan tauladan, buruk jadikan sempadan. Saya nak ingatkan, bahawa main mercun atau lain-lain sama ada menyimpan atau menjual adalah satu kesalahan jenayah dan boleh diambil tindakan oleh pihak polis.
JANGAN TERLIBAT DALAM JENAYAH...


Lagi Pengutip Derma Haram Kena Tangkap, Bila Nak Serik

KLUANG - Seorang lelaki berusia 52 tahun yang sedang asyik membuka kaunter mengutip derma di sebuah pasaraya di daerah ini ditahan Bahagian Penguatkuasa Jabatan Agama Islam Johor (Jaij) cawangan Kluang, petang kelmarin.

Lelaki berkenaan ditahan kira-kira jam 5 petang selepas pegawai Jaij menyamar sebagai pengunjung untuk mendekati lelaki berkenaan selepas jabatan itu menerima maklumat daripada orang awam.

Ketika penyamaran, lelaki berkenaan menawarkan beberapa risalah dan barangan yang kononnya dijual untuk kutipan amal bagi sebuah sekolah di utara tanahair.

Namun, apabila anggota memperkenalkan diri sebagai penguatkuasa, lelaki tersebut bertindak cuba menunjukkan surat sokongan untuk membuat kutipan tetapi tiada satu surat pun yang menyatakan kebenaran daripada pihak Jaij.

Menurut Pegawai Tadbir Agama Daerah Kluang, Mohd Khalil Mohd Noor, lelaki berkenaan ditahan kerana gagal mengemukan surat kebenaran dan semua barang  miliknya disita.

“Lelaki tersebut akan didakwa di bawah Seksyen 106(4) Enakmen Pentadbiran Agama Islam Johor yang membolehkan individu terbabit dikenakan hukuman denda RM3,000 atau penjara dua tahun jika  sabit kesalahan.

“Barang yang disita ialah sejumlah wang tunai hasil kutipan tabung derma, tabung kutipan derma, risalah, cawan untuk jualan amal, air penawar dan lencana,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Mohd Khalil turut mengingatkan orang ramai agar tidak mudah terpedaya dengan slogan kutipan derma yang kononnya untuk rumah kebajikan atau pertubuhan anak yatim kerana tidak diketahui tujuan sebenar kutipan tersebut dilakukan.

Jelasnya, apa yang dirisaukan ialah jika kutipan tersebut bukan untuk kegunaan seperti yang dinyatakan sebaliknya untuk kepentingan individu atau sindiket yang tidak bertanggungjawab.

“Malah, pihak kami juga tidak pernah mengeluarkan sebarang surat kebenaran untuk golongan ini mengutip derma,” katanya.

26 Julai 2013

Bual Bicara Ramadhan dan Nuzul Quran di INTAN KLUANG

Saya baru pulang dari menyampaikan ceramah atau bual bicara di IKWAS atau INTAN KLUANG kepada peserta Pegawai Tadbir Diplomatik (PTD) seluruh negara yang sedang berkursus beberapa bulan di sini. Iaitu yang dipanggil Kursus DPA 1/2013 siri 44 (IKWAS). Yang menariknya, penceramah pakai baju batik sebab tak tahu peserta pakai baju Melayu.....hehe.

Program bermula jam 10.00 malam hingga jam 11.45 malam dipenuhi dengan soaljawab moderator dan peserta. Antara soalan berkisar dengan tajuk kebesaran Al-Quran sebagai mukjizat agung kepada seluruh manusia. Dalam pada itu, ada juga soalan dari peserta lelaki yang tanya pasal 'poligami' yang saya jawab secara terperinci. Panas juga soalan dan jawapan mengenai poligami ni yer..... hehe. Banyak juga isu yang disentuh tetapi masa agak terhad nampaknya.

Tahniah atas penganjuran seperti ini yang dikendalikan oleh peserta-peserta kursus sendiri. Pertengahan bualbicara, diselitkan dengan puisi yang menusuk kalbu, yang disampaikan oleh seorang perserta. Juga diucapkan selamat berkursus kepada semua peserta, semoga mendapat kejayaan dan keberkatan di dunia dan akhirat.

25 Julai 2013

Perempuan Dah Berisi 8 Bulan, Baru Nak Nikah


Pasangan ini, lelaki 22 tahun, kerja kampung, perempuan umur 19 tahun, tidak bekerja, bernikah. Memang jarang orang bernikah bulan Ramadhan ni, tapi pasangan ni, perempuannya dah ditebuk tupai dan mengandung 8 bulan. Bernikah berwalikan bapa dan bapanya tidak mahu berbual dengan sesiapa nampaknya dalam majlis ini.

22 Julai 2013

Masa Mohon Sijil Halal Bukan Main Bagus, Lepas Tu.....



Tadi satu operasi khas bersepadu  dilakukan di daerah Kluang. Turut serta adalah penguatkuasa JAIJ, Unit Halal JAIJ, KPDNKK, Majlis Perbandaran Kluang dan Kesihatan Kluang. Target operasi adalah restoran 24 jam, kedai kek dan kopitiam. Banyak tempat diperiksa.

Ada satu kedai kek ini sedang dalam proses mohon sijil halal. Pemeriksaan telah dibuat beberap bulan lalu dan sedang tunggu masa untuk dikeluarkan sijil halal. Bagaimanapun, dalam operasi mengejut tadi, kedai kek berkenaan didapati melalukan beberapa perkara yang meragukan. Senang cakap, kalau keadaan macam ni, susahlah nak beri sijil halal. Berbeza sangat semasa melawat kedai berkenaan sebelum ini. Maknanya, mereka berlakon bagus untuk nak dapat sijil halal yer.

Antaranya adalah soal kebersihan dan pakaian pekerja yang tidak dititikberatkan. Dan, satu lagi, dia meletakkan tempat sembahyang agama dia dalam kedai berkenaan. Bukan kecil tapi besar. Masuk saja kedai, terus nampak. Dulu semasa pemeriksaan hendak dapat sijil halal, tempat sembahyang tu tak ada. Jadi, fikir-fikirkanlah, layak ke kedai kek ini dapat sijil halal yer?

20 Julai 2013

Lelong Rumah Episod 11: Sekarang Masanya Untung Jual Rumah?


Tahun 2013 dan hujung 2012 di negara kita menampakkan kenaikan yang ketara mengenai harga rumah. Sedangkan tahun 2008, 2009 dan 2010, harga rumah adalah murah dan banyak rumah lelong. Episod lepas saya cerita bab "Gelembong Hartanah" dan kurangnya rumah yang kena lelong sekarang. Kalau perut yang boroi, bolehkah perut itu kempis? Jawapannya boleh. Tapi tak tahulah bila.

Dalam keadaan sekarang, masih ada orang yang membeli rumah dengan harga yang mahal dan mereka masih dikira berbaloi. Seorang kenalan saya adalah seorang orang penting dalam perniagaan hartanah bercerita, syarikatnya melancarkan kondominium dengan harga setengah juta atau 500,000 di Lembah Klang dan beberapa hari saja habis terjual. Syarikatnya turut menjual rumah  bawah dengan harga dalam sejuta dan juga habis. Saya tanya dia, adakah munasabah dengan harga kondo setengah juta dan rumah teres dengan harga itu? Dia kata, bukannya tidak munasabah, tapi orang berebut-rebut beli. Jawapan itu, menyebabkan saya tidak soal lagi soalan yang sama pada dia.

Untung Atas Angin

Saya faham, orang yang membeli hartanah sebegitu ada tujuannya iaitu untuk mendapat keuntungan cepat. Katanya, rumah yang harga setengah juta itu boleh dijual dengan harga sejuta apabila kondo itu siap. Maknanya dalam tak berapa lama, pemilik rumah itu dapat untung setengah juta segera. Keuntungan sebegini tak akan dapat kalau kita melabur dalam ASB, Tabung Haji, Saham Bank Rakyat dan sebagainya. Juga belum tentu untung kalau kita jadi pelabur dalam bursa saham. Tapi hartanah... ini berlaku, bukan khayalan tapi kenyataan.

Kalau kita ke Johor Bahru, waktu menulis ini pun saya di Johor Bahru, kita lihat harga hartanahnya semakin mahal tanpa had. Semuanya bergantung kepada permintaan pembeli. Yang saya tengok, tahun 2009, sebuah rumah kedai baru di lokasi strategik di JB dijual dalam lingkungan 390,000. Tapi sekarang tahun 2013, kedai baru yang harganya 950,000 adalah perkara biasa. Itupun dah habis terjual, berebut-rebut orang beli. Beli rumah kediaman atau rumah kedai ada dua keuntungannya iaitu penyewa bulanan dan boleh jual kalau siapa nak beli dengan harga tinggi.

Beberapa hari lepas, saya baca dalam akhbar, katanya kerajaan sedang mengkaji, bagaimana untuk melindungi pembeli rumah. Sekarang ini, orang yang berduit akan membeli dan terus membeli hartanah kerana mereka punyai banyak wang. Sedangkan orang yang belum berkemampuan, menggigit jari saja. Antara cadangan kerajaan adalah dengan mengkaji undang-undang untuk menyekat atau mendenda orang yang menjual hartanah dalam masa 2 tahun. Bagaimanapun, semua ini masih diperhalusi lagi.

Sampai Bila Harga Naik

Soalnya sekarang, sampai bila harga rumah ini akan naik ? Bilakah penghujungnya. Saya tertarik dengan kenyataan seorang tokoh ekonomi terkenal negara yang menyatakan, akan berlaku kitaran ekonomi iaitu turun naik seperti roda. Maknanya, ada masanya sesuatu sektor itu meningkat naik, dan ada masanya akan jatuh. 

Emas

Kita lihat dulu harga emas naik, ramai orang terperangkap semasa beli emas tinggi. Ramai yang menyimpan dengan membuka akaun pelaburan emas di bank yang waktu itu berkhayal untuk jadi kaya, tapi Allah takdirkan harga emas jatuh sampai hari ini. Ada juga kawan saya yang keluar duit KWSP puluhan ribu dan terpengaruh dengan satu syarikat kononnya peleburan yang baik. Akhirnya sekarang, duit dia habis lansung. Bukan itu saja, malah syarikat itu menyalahkan pelabur kerana katanya tidak memahami syarat-syarat pelaburan yang dibuat dulu.

Kelapa Sawit

Sekarang harga sawit jatuh. Berapa harga sekarang, saya tak berapa tahu tapi yang saya tahu, harga sekarang rendah berbanding zaman kegemilangannya kira-kira dua tahun lalu. Dulu tahun 1996, apabila harga rumah naik, banyak syarikat yang menceburi bidang hartanah. Ada syarikat yang kepakarannya hanya menguruskan ladang saja akhirnya mengambil keputusan menceburi bidang perumahan kerana nampak keuntungan yang berlipat ganda pada masa itu. Hingga penghujungnya, ada syarikat yang lingkup semasa kegawatan ekonomi dan projek perumahannya tak siap dan terbengkalai pun ada. Ada saham perumahan yang dulu cukup hebat akhirnya diistiharkan muflis dan ada saham yang dapat tanda merah dan ada juga yang dinyahsenarai dari bursa saham.

Waktu itu, tengah elok-elok sawit banyak buah, cuma harganya tak berapa baik, ada syarikat perladangan yang tebang pokok sawit semahunya macam tak sedar diri. Tujuannya nak buat perumahan. Tapi masa gawat tahun 1997-1999, harga sawit pula meningkat tinggi. Maka menyesallah syarikat yang nak buat perumahan itu sebab pokok sawit dah banyak ditebang. Nak tunggu berbuah dalam 5 tahun, bila dah cukup 5 tahun, harga pulak tak semahal dulu. Inilah perkitaran ekonomi.

Pada saya, dalam keadaan harga sawit yang tak berapa mahal sekarang, bertahanlah. Tengoklah nanti, harganya pasti naik semula kerana sejarah kenaikannya sudah ada. Hari ini saja ada berita yang menarik mengenai industri sawit apabila sebuah syarikat sawit Malaysia berjaya menerokai industri biodisel negara Eropah. Nak tahu cerita lanjut, klik sini, Berita Harian . Ekonomi ini ibarat roda atau spotrim kereta, ada masa berada di atas, ada masa di bawah. Sama-sama adillah, ada masa sedap, ada masa tak sedap, sama-sama merasa.

Getah

Dalam tahun 2010 dan 2011, harga getah naik ke paras tertinggi dan ramai pekebun getah jadi kaya. Ada seorang Pak Haji di Kluang waktu itu ada dalam 15 ekar kebun getah. Dia menoreh bersama isteri dan pekerja Indonesianya. Dia cerita, pendapatannya melebihi 15,000 dalam sebulan dengan hasil kebun getahnya. Alhamdulillah, dia bayar zakat yang banyak kepada Majlis Agama Islam. 

Tapi sekarang harga getah dah muram sedikit tapi pasti ada penghujungnya. Saya yakin, kenaikan akan berlaku cuma tak tahu bila saja. Yang akan berlaku waktu itu, kebun getah dan semakin kurang. Banyak tempat sekarang terutama felda dah banyak kebun sawit hingga kebun getah semakin kurang. Jangan pulak nanti, masa getah naik, pergi tebang pokok sawit tanam getah pula.

Bijih Timah

Kita belajar dalam buku teks sekolah dulu yang bijih timah satu masa dulu cukup terkenal di negara kita. Dengan bijh timahlah menyebabkan kemasukan tenaga buruh asing ke negara kita waktu itu. Juga wujudnya bandar seperti Kuala Lumpur, Ipoh, Seremban, Lukut, Kuantan dan lain-lain kerana kepesatan industri bijih ini. Satu masa dulu Sungai Lembing di Kuantan terkenal dengan bijih ini dan menjadi bandar yang pesat waktu itu. Tapi sekarang kalau kita ke Sungai Lembing, kita dapati deretan kedai-kedai buruk yang sunyi dan tidak ada penghuni seperti dulu lagi. Dalam buku sejarah sekolah pun ada cerita pasal kongsi gelap Cina, Han San dan Ghee Hin. Nama Yap Ah Loi cukup terkenal yang dalam buku sejarah itu ada gambar dia yang hensem pakai topi.

Sekarang bagaimana indistri bijih timah yang dulu Malaya menjadi terkenal seluruh dunia ? Di beberapa tempat di Ipoh, bekas lombong ini jadi tempat bela itik serati yang bising itu. Daging dia dijual termasuk yang saya beli masak itik panggang orang datang raya rumah saya. Telur dia buat telur masih atau orang kampung saya panggil 'telur asin'. Tapi jaga-jaga, doktor kata kalau sesiapa yang sakit darah tinggi jangan makan banyak sangat telur masin ini.

Saya pergi ke Puchong Selangor, ada bekas lombong yang ditimbus dan kemudiannya dibuat perumahan. Saya nak buat lawak sikit..... nanti kalau harga bijih timah naik menggila, agaknya orang sanggup runtuhkan rumah dia sendiri untuk menggali bijih timah ini, tak ker gitu?

Jual Rumah

Kembali semula cerita pasal rumah. Kepada siapa yang dah ada rumah banyak, bukan orang rumah banyak yer... Maka cuba fikirkan untuk menjual rumah kita sekarang. Kalau kita berpoligami lebih dari satu rumah, mungkin rumah yang kita tidak duduk itu, kita buka harga sedap sikit. Antaranya dengan bukak iklan free dalam Mudah.com. Contohnya rumah di Pulai Perdana JB yang dulu tahun 2005 dibeli dengan harga 145,000, cuba buka untuk jualan dengan harga 350,000. Okey saya ulang semula untuk lebih jelas.

Rumah yang dibeli itu tahun 2005 maknanya dah 8 tahun. Cuba tanya bank, berapa baki pinjaman kita. Mungkin dalam 120,000. Jadi kalau betul ada orang nak beli rumah kita 350,000 tolak 120,000, akan dapat wang tunai 230,000. Banyak tu.

Jual Rumah Lelong

Juga kepada pembeli rumah lelong macam saya tahun 2008-2010 dulu. Contohnya sebuah kondo di JB dulu dibeli dengan 70,000. Sekarang cuba buka dengan harga 290,000 atau kalau berani dalam 350,000. Tengok, ada orang tanya atau tidak. Kita kena ingat, yang harga rumah yang tinggi sekarang mungkin tidak lama. Mungkin beberapa tahun lagi, harganya akan turun ke paras yang sebelumnya. Faktor yang menyebabkan harga rumah murah adalah antaranya, lebihan rumah berbanding pembeli, kesukaran mendapatkan pinjaman perumahan, sektor lain gawat, kuasa beli rakyat semakin kurang, kemelesetan ekonomi, undang-undang yang ketat untuk jualbeli rumah, bencana alam, pertumbuhan bandar baru, sumber ekonomi yang baru dan sebagainya. Satu dua faktor yang saya sebut, sudah ada sedikit berlaku.

Dulu saya kursus hartanah pada 13 November 2011, tak percaya, klik sini . Kalau kita iklankan di internet, beberapa jam saja akan ada broker hartanah telefon. Broker ini adalah broker yang tak berlesen yang saya tak sampai hati nak kata 'broker haram' macam media kata, sebab saya pun termasuk dalam golongan ini juga. Broker ada skil dan kemahiran dia tersendiri untuk luaskan iklan jualan itu sehingga berjaya terjual.

http://ustazkhalil.blogspot.my/2014/06/beli-rumah-lelong-episod-10-johor-bahru.html

19 Julai 2013

Niaga Paling Untung Bulan Ramadhan, Cara Menipu

Sekarang ramai orang minta derma atau sedekah bersempena bulan Ramadhan yang berkat ini. Tapi tahukah kita, wang itu sebenarnya untuk ke  mana? Tak tahu kan. Yang pasti, orang kita memang orang yang pemurah dan cepat simpati apabila tengok orang minta derma. Derma ini pelbagai, tetapi yang paling laris adalah dengan menjaja nama kebajikan Islam contohnya untuk membina Masjid, surau, sekolah tahfiz dan anak yatim.

Di Kluang, saya istihar perang habis-habisan kepada peminta sedekah tanpa kebebaran ini. Bukan apa, nak selamatkan duit orang kita juga. Biarlah sedekah kita sampai kepada matlamatnya. Beberapa hari sebelum puasa, seorang lelaki 50-an, status duda, dari Malaysia Timur ditangkap ketiga sedang memungut derma di Pasar Malam Stadium Kluang. Apabila dibawa ke pejabat, rupanya dialah orang yang sama yang ditangkap tahun 2010 di hadapan sebuah bank sebelum dibebaskan dengan jaminan sementara menunggu tarikh perbicaraan di mahkamah.

Kes beliau dituduh di mahkamah atas dua pertuduhan iaitu tarikh dan lokasi berbeza. Hakim menjatuhkan hukuman denda RM 2,000 bagi kesalahan pertama dan jaminan wang tunai RM 3,000 bagi kes kedua. Lelaki ini gagal membayar wang RM 5,000 dan terpaksa menjalani hukuman penjara di Penjara Kluang. Maknanya lelaki ini masih berada dalam penjara, menjalani bulan Ramadhan bersama banduan lain. Juga akan berhari raya juga nanti.

Tiada Kebenaran

Bukan tak boleh hendak kutip derma tetapi kenalah dapatkan kebenaran Jabatan Agama. Kalau betul nak kutip derma dengan niat dan tujuan baik membangunkan Islam, Jabatan Agama tiada masalah untuk beri kebenaran. Di daerah Kluang saja, banyak juga permohonan yang diluluskan seperti Pertubuhan Anak Yatim Islam Kluang, derma pembinaan  masjid/ surau dan lain-lain. Sebelum luluskan, bukan main lulus saja tetapi dipastikan dahulu kesahihan derma tersebut. Kalau dah lulus pun, ada prosedur yang perlu diikuti untuk mengelakkan perkara yang tidak diingini.

Tipu Surat Kebenaran

Beberapa kes dikesan di Kluang tahun ini adalah menggunakan surat kebenaran palsu kononnya dikeluarkan oleh Jabatan Agama. Sebenarnya surat itu palsu dan dilakukan oleh beberapa orang warganegera Pakistan. Mereka ini pergi ke beberapa masjid secara bergilir dan menunjukkan surat palsu ini. Sudah ada beberapa masjid yang mereka kunjungi dan kegiatan mereka cukup licik. Untuk pengetahuan semua, sekiranya mempunyai maklumat tentang kegiatan ini, sila buat aduan segera kepada Pejabat Kadi Kluang. Tangkapan akan dibuat.

Bazar Taman Intan

Dua hari lepas, seorang lelaki warga Pakistan ditangkap sewaktu memungut derma di Bazar Ramadhan jam 4.00 petang. Seorang lagi lelaki yang bersamanya sempat melarikan diri. Faham-fahamlah, bulan puasa ni, penguatkuasa nak kejar dan lari kuat-kuat tak larat, hehehe. Lelaki ini ditahan di lokap Balai Polis Kluang semalaman, kemudiannya dibebaskan dengan bon bernilai 3,000 oleh penguatkuasa sebelum tindakan lanjut diambil.

Pesanan Pegawai Daerah Kluang

Malam tadi, saya bersama Pegawai Daerah Kluang, Haji Abdul Karim bin Abu Bakar di Masjid Taman Sri Lambak, Kluang. Selepas solat tarawih, Pegawai Daerah beri sedikit ucapan. Antaranya Pegawai Daerah pesan supaya berhati-hati dengan sendiket pungut derma tanpa kebenaran ini. Menceritakan pengalamannya sewaktu menjadi Timbalan Pengarah Jabatan Agama dahulu, ada orang datang kepadanya untuk memungut derma. Apabila diminta surat kebenaran, lelaki itu menunjukkan surat kebenaran yang kononnya ditandatangani oleh Pengarah Jabatan Agama. Tetapi sebagai Timbalan Pengarah, beliau tahu, itu bukanlah tandatangan Pengarah yang sebenarnya kerana beliau cukup kenal dengan tandatangan Pengarah. Memang jelas itu penipuan terutama teknologi sekarang, boleh buat surat apa saja kalau mahu.

Bazar Ramadhan

Semasa ucapan Pegawai Daerah malam tadi dalam jam 10.00 malam, saya terima aduan kegiatan derma ini. Maka malam tadi, ditangkap dua orang lelaki Melayu dari negeri Pantai Timur. Ditangkap di bazar Ramadhan dekat yang jual baju tu. Katanya derma untuk sekolah anak yatim di sebuah negeri di utara.

18 Julai 2013

Pelakon Mohd Ashraf Muslim Nikah Poligami di Thailand, Komen Saya

Hari ini beberapa akhbar memuatkan berita yang jadi sensasi atau disensasikan oleh akhbar itu sendiri iaitu seorang pelakon yang meningkat namanya dalam lakonan bernikah lagi satu. Terus terang saya cakap, saya tak kenal siapa dia Mohd Ashraf Muslim ini sebab saya kira jarang juga tengok tv. Saya pun tak tahu dia juga ada pegang title pendakwah, mungkin dia berdakwah dalam tv atau orang jemput dia berceramah kat mana-mana. Semalam juga ada seorang tu kata dia pernah berubat dengan Ustaz Mohd Asraf ini secara perubatan Islam. Kira percayalah yang Mohd Asraf ini seorang pengamal perubatan Islam.

Saya bukan hendak komen lebih-lebih pernikahan kali kedua Mohd Asraf umur 32 tahun dengan Wan Sakinah bt Ahmad Saburi 29 tahun sedangkan dia sudah ada isteri Dayana bt Lokman 26 tahun. Segalanya adalah ketentuan dan suratan takdir. Kita mesti ingat, kehendak Allah, kita tidak dapat merubahnya.

Pendangan Orang Kita

Memang sudah dijangka sikap orang kita mengenai poligami ini, banyak saja cerita yang negatifnya. Media pula berlumba-lumba mengejar berita kerana berita ini pasti jadi hangat. Bukan saya nak salahkah media tetapi itulah media yang baik untuk mendapat tarikan pembaca dan penonton.

Orang kita kalau bab ini, memang ramai orang pandang serong. Entah, malaslah saya nak komen panjang-panjang bab poligami ni. Nanti ada saja orang kata saya menyebelah kepada sesiapa. Dalam bab kawin ni, memang orang kita suka mengata dan menjadi pemberita sambilan atau ahli mesyuarat tingkap kipas lipas.

Kawin Lambat atau Cepat
Kalau perempuan kawin lambat, orang kita kata, memilih sangat. Kalau perempuan kawin cepat, orang kata gatal pulak nak berlaki. Kalau lelaki kawin cepat, katanya tak sabar-sabar nak berbini. Kalau kawin lambat, orang kata lelaki ini tak bernafsu pulak, macam-macam.

Pasangan Tua

Kalau pasangan itu perempuan muda, lelaki tua sangat, orang kita kata nak bolot harta si lelaki tua tu. Kalau lelaki muda, perempuan tua, orang kata perempuan tu kena sihir pulak. Inilah yang berlaku dalam masyarakat kita.

Dalam bab kawin dua ni pulak, ada orang kata suami dia yang kawin dah kena bomoh dan macam lagi. Orang kata, lelaki yang kawin lebih ni, kuat nafsulah, apalah. Perempuan pulak kena tuduh perampas suami orang, sedangkan dia bukan rampas bawak lari pun.

16 Julai 2013

"Siapa Boleh Jamin Allah Tidak Cabut Nyawa Kita Hari Ini"


Sempena Ramadhan ini, saya ingin membawa satu kisah kehidupan. Kekadang kita lupa dengan kesusahan orang lain kerana kita tidak mengalami penderitaan itu. Dengan berbuka puasa kita disajikan dengan makanan yang tak muat meja. Sedangkan kita mungkin terlupa yang ada ramai orang miskin yang tak jauh dari kita, jiran kita atau mungkin hari-hari kita lalu di hadapan rumahnya.

Dalam sebuah kisah Saidina Umar Al-Khattab sewaktu menjadi khalifah kepada orang Islam. Beliau selalu berjalan-jalan untuk melihat sendiri keadaan rakyatnya termasuk pada waktu malam. Suatu malam, Umar bersama seorang sahabat berjalan-jalan di kawasan perumahan dengan menyamar sebagai rakyat biasa. Umar mendapat laporan yang rakyatnya hidup bahagia dan tidak ada lagi orang susah yang tidak cukup makan. Bagaimanapun, Umar ingin melihat sendiri kehidupan rakyatnya, adakah benar seperti yang dilaporkan kepadanya.

Menangis Tak Cukup Makan

Lalu di sebuah rumah, Umar berhenti kerana mendengar tangisan dua orang kanak-kanak kecil yang meminta makanan dari ibunya. Umar dan sahabatnya meminta izin masuk ke rumah dan dibenarkan untuk melihat apa yang berlaku. Umar melihat seorang ibu sedang memasak makanan begitu lama sehingga anaknya tertidur menanti masakan itu masak. Rupanya ibunya sedang memasak batu untuk memujuk anaknya sehingga anaknya tertidur. Tidak ada makanan di dalam rumah tersebut.

Menyalahkan Khalifah

Wanita itu tidak mengenali Umar yang bertandang ke rumahnya itu. Wanita ini juga menyalahkan Umar sebagai seorang Khalifah yang kononnya hidup senang lenang sedangkan rakyatnya miskin dan tak cukup makan. Sahabat Umar marah kepada perempuan itu tetapi Umar membenarkan wanita itu terus berkata-kata. Umar beristighfar dan sedih kerana ada juga rakyatnya yang hidup miskin sedangkan hasil negaranya banyak. Umar meminta izin untuk pulang ke rumah tanpa menjanjikan apa-apa kepada wanita tersebut.

Dalam hati Umar, dia tidak menyalahkan wanita tersebut tetapi berkecil hati dengan pegawainya yang telah memberikan gambaran yang tidak baik mengenai kehidupan rakyatnya. Umar tidak marah kerana wanita itu menuduhnya sebagai khalifah yang tidak mementingkan rakyat dan hidup bermewah-mewah. Umar faham yang maklumat tentang dirinya tidak tepat kerana Umar tidaklah tinggal di istana mewah seperti yang digambarkan. 

Dalam satu kisah lain, berlaku kunjungan hormat perwakilan Raja Parsi, wakil tersebut tidak percaya yang rumah sebegitu adalah Umar Al-Khattab yang namanya begitu hebat di Parsi. Bila dicari di mana Umar berada, Umarlah yang tidur di bawah pohon kurma di sebelah rumahnya kerana rumahnya usang dan panas. Tapi, itulah gambaran sebenar seorang khalifah yang berjiwa rakyat.

Beri Bantuan Segera

Umar segera ke pejabatnya malam itu juga dan mengambil gandum milik Baitulmal. Umar sendiri yang menceduk dan mengangkat gandum tersebut untuk diserahkan kepada wanita tersebut. Bersimpati dengan apa yang Umar lakukan, sahabatnya bertanya.

"Tidakkah boleh diberi bantuan esok hari sahaja". Kata sahabatnya.

Umar memandang ke arah sahabatnya dengan tajam sambil berkata,

"Adakah siapa boleh jamin yang Allah tidak mencabut nyawaku hari ini, sebelum aku dapat memberi bantuan makanan kepada rakyatku".

Umar terus menghantar makanan tersebut malam itu juga. Umar gembira melihat kanak-kanak kecil itu makan dengan kenyangnya kerana sudah beberapa hari tidak makan. Umar juga memberikan wang tunai sumbangan baitulmal serta mengarahkan pegawainya untuk memberi bantuan susulan kepada keluarga ini.

15 Julai 2013

Bazar Ramadhan Taman Intan

Minggu pertama Ramadhan ni, saya sibuk dengan tugas rasmi. Semalam saja saya sempat ke bazar Ramadhan di Kluang iaitu Taman Intan. Bazar lain belum sempat lagi pegi nampaknya. Yang paling meriah katanya kat bandar Kluang ada lebih 285 gerai. Kat Taman Makmur, Jalan Mersing juga meriah. Saya sempat ambil gambar kat bazar Taman Intan semalam.

Selamat berpuasa dan beribadat dalam bulan Ramadhan..

12 Julai 2013

Sultan Johor Pandu Kereta Api Ke Kluang

Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar teruja memandu sendiri kereta api buat kali kelima ke Stesen Kluang, semalam. Baginda turut memberitahu  tidak berasa takut sebaliknya telah melakukan persediaan sebulan lebih awal kerana sudah lama tidak memandu kenderaan tersebut.

“Saya tidak rasa takut. Saya juga rasa teruja. Saya sudah bersedia untuk memandunya dan memang sudah dirancang. Sudah banyak kali juga saya memandu sendiri termasuk ke Kuala Lumpur.

“Ini adalah kali kelima saya memandu sendiri kereta api. Saya mahu ke Kluang. Jadi saya pilih naik kereta api dan akan berada di sana (Kluang) beberapa hari, jadi saya ambil peluang untuk memandu kereta api,” titahnya yang memandu tren Sinaran Selatan  dari Stesen Johor Bahru Sentral, di sini semalam.

Rombongan baginda bertolak dari Stesen Johor Bahru Sentral ke Stesen Kluang pada jam lebih kurang 2.15 petang sebelum dijangka tiba kira-kira 4.30 petang.Mengiringi baginda dalam perjalanan itu, Presiden Keretapi Tanah Melayu Malaysia Berhad (KTMB), Datuk Elias Kadir.

Baginda dibantu Pembantu Lokomotif KTMB, Kamal Hasnawi sepanjang perjalanan tren berkenaan. Perjalanan tren 50 Kilometer itu yang mengambil masa kira-kira dua jam 15 minit itu turut membawa 150 penumpang lain yang dalam perjalanan dari Stesen Woodlands, Singapura. Sultan Ibrahim telah menerima lesen memandu lokomatif berkuasa tinggi pada Program Kembara Johor (KMJ), Julai 2010.

Dipetik Dari Akhbar Sinar Harian, Klik Sini

11 Julai 2013

Kena Tangkap Makan Tengah Orang Bulan Ramadhan

Hari pertama bulan Ramadan dicemari dengan tingkah laku seorang kaki ponteng puasa beragama Islam tanpa segan silu menikmati sarapan pagi di sebuah kedai makan bukan Islam di Jalan Besar, kira-kira jam 9.10 pagi, di Kuantan, semalam.

Lelaki berusia 29 tahun itu kantoi dengan penguat kuasa Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip) apabila ditemui sedang menikmati mi goreng dan nescafe ais di bahagian belakang kedai makan berkenaan.

Bagaimanapun, lelaki itu cuba memberi alasan tidak sempat bersahur dan sakit perut ketika ditahan penguat kuasa dalam operasi pada hari pertama Ramadan.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa Jaip, Ahmad Raffli Abdul Malek berkata, lelaki itu berasal dari Pekan dan bekerja di sebuah kilang di daerah sama.

“Pelbagai alasan diberikan namun kita cukup faham dengan helah kaki ponteng puasa ini.

“Operasi memantau kaki ponteng puasa ini dimulakan sejak awal pagi dan ‘port’ yang menjadi tumpuan diberi keutamaan,” katanya.

Ahmad Raffli berkata, sebanyak 10 lokasi termasuk kaunter pandu lalu restoran segera dipantau dalam operasi pagi semalam membabitkan 12 penguat kuasa yang dibahagikan kepada dua kumpulan.

10 Julai 2013

Bagaimana Hendak Rezeki Kita Bertambah Berlipat Kali Ganda ?


Selamat menyambut kedatangan Ramadhan yang akan bermula hari ini. Ramadhan adalah bulan yang paling mulia dalam kalendar Islam, bulan yang berkat dan memberi banyak kelebihan kepada umat Islam. Jangan lupa malam ini, kita solat Tarawih secara berjemaah di masjid atau surau. Solat tarawih adalah solat sunat yang dituntut dilakukan secara berjemaah. Solat sunat lain yang dituntut dilakukan secara berjemaah adalah solat dua Hariraya, solat gerhana dan solat mohon hujan.

Rezeki Melimpah

Sebagai bulan yang berkat, rezeki orang kita bertambah dalam bulan Ramadhan. Tak timbul cerita orang kita tak makan sebab tak ada makanan nak berbuka puasa. Di negara lain belum tentu. Ada negara seperti orang Islam di Myanmar, Filipina, Selatan Thai, Palestine, Syria dan Mesir, mungkin ada orang Islam yang tidak menentu ibadat Ramadhannya kerana pergolakan yang berlaku di negara mereka sekarang. Mereka berbuka puasa dan sahur sudah tentu tidak seperti kita yang makanannya ada yang sampai tak muat meja. Tapi, dalam ketenangan dan kebahagian yang dikecapi di negera kita yang aman ini, kita jangan lupa penderitaan orang Islam di tempat lain seperti orang fakir, miskin dan orang susah. 

Zakat dan Sedekah

Jangan abaikan zakat harta kalau kita sudah cukup syarat diwajibkan berzakat. Dan jangan lupa bersedekah terutama memberi makan kepada orang kita berbuka puasa, bukan kasi makan pada orang tak puasa yer, hehe. Sebab ada juga kes orang Islam yang jual makanan awal pagi semata-mata menjual kepada orang yang tak puasa. Itulah yang saya nak cerita hari ini iaitu kalau kita nak rezeki kita bertambah dalam apa saja yang kita ceburi, bayarlah zakat dan lebihkan sedekah. Insaallah, Allah beri kita rezeki lebih.

Bubur Lambuk Masjid Bandar Kluang

Cara nak beri sedekah untuk orang berbuka puasa kalau cara dulu, ajak orang datang berbuka kat rumah saya, dulu arwah ayah saya selalu buat. Tapi zaman sekarang macam susah, orang lebih suka berbuka kat rumah sendiri. Tahun ini juga, Masjid Bandar Kluang ada buat bubur lambuk dan beratus-ratus orang boleh ambil bubur itu percuma saja. Yang sedekah itu adalah duit orang ramai yang menderma untuk tabung masjid, maka sedekah kita kepada masjid walaupun berapa sen sekalipun tetap dikira di sisi Allah Taala.

Tahun ini juga, Masjid Bandar Kluang sediakan makanan untuk berbuka puasa setiap hari, cuma jumlahnya berubah mengikut permintaan iaitu berdasarkan ramai atau tidak orang yang hadir.  Kalau diberitahu ramai orang yang datang setiap hari, maka jumlahnya akan ditambah.

Tahun lepas, ada orang Islam ini dari Singapura beri saya beberapa kotak kurma untuk diberikan kepada orang Islam di Kluang. Saya sendiri tidak mengenali orang yang menderma ini tetapi saya tunaikan amanah beliau untuk memanjangkan sedekahnya ke daerah ini. Beberapa tempat saya kasi seperti masjid dan surau termasuk yang datang ambil apabila saya buat pengumuman.

Apa-apa pun, janganlah jadikan Ramadhan termasuk berbuka ini sebagai pesta makanan seolah-olah hendak makan sepuas-puasnya sebagai membalas perasaan lapar kita pada siang hari, perkara sebegini adalah dilarang dalam Islam.
SELAMAT MENJALANI IBADAH RAMADHAN...

Lepas Meminjam, Nak Melabur Kat Mana ? ASB, Tabung Haji, Hartanah ?


Ada seorang tanya saya soalan mengenai pelaburan. Dia seorang kakitangan kerajaan buat pinjaman peribadi 100,000 selama 15 tahun dengan bayaran bulanan lebih kurang 950.00. Lepas dia buat pinjaman, dia macam sayang nak guna duit tu. Dia Tanya saya di mana sepatutnya dia nak melabur, sama ada ASB, Tabung Haji, beli rumah, tanah atau sebagainya.

Jawapan Saya:

Sebenarnya, yang betulnya adalah tak perlu buat pinjaman peribadi. Dapat gaji tiap bulan penuh lagi baik. Ini pergi pinjam nak buat apa, bukan ada perancangan nak beli apa pun. Mungkin dia rasa pinjaman peribadi dia dalam 4 peratus dan dia anggap keuntungan menyimpan dalam ASB melebihi 8 peratus, dia kata untung. Sebenarnya dia tak tahu, 4 peratus itu dikira dari jumlah asal pinjaman atau baki? Dia pun tak tahu, sebab yang dia tahu, bank kata 4 peratus itu murah.

Apabila kita meminjam dalam personal loan, bank mendapat keuntungan yang besar. Selepas itu kita nak melabur sedangkan pelaburan kita itu belum ada kepastian sama ada untung atau tidak. Okey, kalau kata menyimpan atau melabur dalam ASB itu untung, tapi kita kena kira untung kita berapa dan adakah untung juga selepas kita tolak bayaran pinjaman kita itu. Dalam hal ini, orang kita ramai yang terlepas pandang.

Elakkan Meminjam Untuk Melabur

Kita tak perlu meminjam untuk melabur dan ayat yang mudah orang faham adalah, tak ada duit, tak payah nak melabur. Orang yang melabur kat mana-mana, tak kira Bursa Saham, Saham Amanah dan lain-lain sebab orang itu ada duit sendiri. Begitu juga, janganlah melabur guna duit keperluan kita. Nanti bila kita nak guna duit itu, pelaburan kita belum sampai matlamat kita, kita juga yang susah.

Menjawab soalan tadi, yang pergi susah-susah meminjam tu buat apa. Tak payah pinjam kan senang. Baru-baru ini, bank dilarang mengenakan pinjaman peribadi melebihi 10 tahun, itu saya sokong sangat. Saya nampak selama ini bank untung banyak tanpa bank nak kaji bagaimana akan jadi kepada peminjam itu. Banyak bank sebelum ini kasi sehingga 20 tahun dan ada juga yang beri 25 tahun. Maknanya ada orang meminjam sampai pencen atau dah dekat nak pencen. Sedangkan duit yang dia orang dapat tu habis dalam tempoh setahun lebih saja. Maka duit yang tak habis dan tak tahu nak beli apa, mulalah tanya nak buat apa. Ramai juga yang kerjanya dah malas sebab gaji kurang sebab gaji kena potong sampai pencen.

Jawapan kedua saya nak kasi ialah, kalau dah ada duit baki pinjaman peribadi kita, daripada kita habiskan, eloklah simpan kat ASB atau Tabung Haji. Pertama sebab daripada dia menghabiskan duit beli benda tak tentu arah, elok juga dia simpan. Kedua, dapat juga keuntungan pelaburan beli kat situ.
Soalan lain, mengenai personal loan dia nak beli hartanah seperti rumah, saya nak jawab juga. Harga rumah sekarang bukan murah macam 3-4 tahun dulu. Saya bimbang, dengan duit tunai yang dia pegang sekarang, dia cuma boleh bayar duit muka sahaja. Jadi kalau nak beli rumah, dia kena buat pinjaman perumahan pula yang bayarannya juga tinggi. Kalau begitu, dia akan dibebankan dengan pinjaman peribadi yang berjumlah 950 itu dan satu lagi pinjaman yang lebih kurang macam itu juga. Pasti membebankan.

Elok sangat kalau dia nak beli rumah, dari awal jangan buat personal loan. Beli rumah dulu dan buat pinjaman perumahan dari bank. Lepas itu, kalau kena duit muka contohnya dalam 18,000, maka kalau nak buat personal loan, buatlah dalam 20,000 personal loan. Maknanya buat personal loan kemudian selepas kita nampak apa keperluan kita.


06 Julai 2013

Cerita Pasal Kereta Lelong Kastam: Tarikh Tutup 15 Julai 2013 (Episod 14) Cepat Tengok...


Kepada yang berminat dengan kereta lelong kastam, bolehlah ke pejabat Kastam berhampiran dengan anda. Ada banyak kereta lelong, tarikh tutup 15 Julai 2013. Cepat... sebelum terlambat. Saya tolong iklan saja.

....BERSAMBUNG KE EPISOD 15
http://ustazkhalil.blogspot.my/2014/02/kereta-lelong-kastam-sudah-mari-lagi.html