Untuk Memilih Tajuk Artikel Dalam Blog Ini, Sila Taip Perkataan di sini.

07 Jun 2013

Judi Atas Nama Hiburan Keluarga, Sampai Bila ?



Isu kegiatan tidak bermoral di Pusat Hiburan Keluarga ini bukan perkara baru. Banyak rungutan masyarakat di bandar, pekan dan luar bandar. Bukanlah saya menyatakan yang sebelum ini tindakan tidak diambil terhadap pusat hiburan ini, tetapi dari segi keberkesanannya atau tindakan jangka panjangnya.

Sebelum ini beberapa agensi dihujani dengan aduan termasuk kata-kata kesat yang menyatakan pihak berkuasa tidak bertegas dalam tindakan menanganinya. Termasuklah ada pihak yang marah kepada saya sebagai Kadi, kerana katanya penguatkuasa Jabatan Agama tidak tegas. Ini adalah antara rungutan orang awam dan saya tidak marah kepada mereka. Saya maafkan pemanggil yang tidak dikenali yang kata saya macam-macam, kerana mereka ini mungkin tidak tahu apakah bidangkuasa Jabatan Agama dalam kes ini. Biasalah, sebagai seorang Islam, apabila merasakan perkara itu melibatkan moral masyarakat Islam, mereka akan merujuk kepada pejabat Agama.

Sehingga Rumahtangga Bergolak

Ada seorang isteri yang marah-marah pada saya kerana suaminya selalu masuk pusat hiburan dan main judi sampai larut pagi. Duit dihabiskan  di sana tetapi mengabaikan tanggungjawab nafkah pada isteri dan anak-anak. Dia minta saya ikut ke mana saja suami dia pergi termasuk apabila suaminya masuk pusat hiburan. Tetapi dia tak beritahu masa dan tarikh yang tepat dan suaminya bukanlah hari-hari ke pusat hiburan ini.

Apabila seorang Kadi seperti saya gagal memuaskan hati pengadu, maka Kadi kena hentam teruk. Pengadu ini akan puas kalau suaminya kena tangkap dan didakwa.

Mari kita kaji kes ini... Pertama, takkanlah penguatkuasa yang tak berapa ramai ini nak jaga suami dia seorang sahaja termasuk nak ikut suami dia masuk pusat hiburan ini. Kedua, kalau betul suami dia ada di dalam pusat hiburan itu, kesalahan apakah yang suami dia lakukan di bawah Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor ? Ketiga, kalau kata suami dia berjudi, bagaimana pembuktiannya.

Kita kena faham, pejabat agama bukanlah ada kuasa dalam semua  kesalahan.Kita kena bertindak mengikut bidangkuasa dan kalau bertindak di luar bidangkuasa, tindakan boleh diambil kepada agensi terlibat. Kita ada pihak berkuasa lain seperti polis dan pihak berkuasa tempatan yang juga ada kuasa mereka mengikut undang-undang yang mereka ada.

Penguatkuasa Jabatan Agama juga ada buat operasi beberapa kali di pusat hiburan keluarga ini bersama pihak polis. Antara hasilnya, Jabatan Agama tangkap orang yang sedang minum dan hisap rokok siang hari pada siang hari bulan Ramadhan. Manakala pihak polis dilihat ada membuat rampasan. Soal undang-undang apa dan tindakan lanjut apa dilakukan oleh pihak polis, silalah tanya pihak polis.

Ada juga orang yang mendakwa dari satu parti politik dan ada juga katanya dari NGO. Dia marah-marah saya, dia kata saya tak bertindak malah kata saya bersubahat pulak dengan tauke judi. Saya rasa tuduhan ini berat sedangkan saya kenal pun tidak dengan tauke yang dimaksudkan, apalagi nak kata saya bersubahat dalam perkara ini. Daripada saya melayan cerita-cerita fitnah ini, lagilah saya tak boleh nak kerja, lebih baik jangan layan fitnah orang. Akhirnya bila saya senyap, mereka pun senyap juga.

Kita Kena Lebih Pandai Dari Tauke Judi

Kenyataan Menteri Besar Johor seperti yang saya tonton di TV mengatakan lebih kurang begini. Iaitu Menteri Besar menyarankan agensi penguatkuasa lebih pandai dari tauke judi. Kalau selama ini pusat hiburan keluarga ini menipu agensi penguatkuasa dengan menjalankan kegiatan judi dengan berselindung atas nama hiburan keluarga, maka penguatkuasa perlu lebih bijak dari tauke judi ini. Yer, saya amat setuju dan sangat setuju lagi kerana Menteri Besar sendiri yang membuat kenyataan ini.

Saya menyambut baik sikap telus Menteri Besar, sekaligus dapat membersihkan imej agensi penguatkuasa yang terlibat. Kalau betul ada penguatkuasa undang-undang yang bersubahat melindungi kegiatan haram ini, tindakan tegas perlu diambil. Kepada sesiapa yang ada bukti, sila tampil membuat aduan dan jangan buat tuduhan melulu. 

Saya Tak Mahu Ulas Panjang

Isu pusat hiburan keluarga ini saya tak mahu ulas panjang. Cukuplah sekadar saya katakan kenyataan Menteri Besar ini sangat bermakna dan tepat pasa masanya.

...........................................
JOHOR BAHRU 6 Jun - Kerajaan negeri Johor akan mengkaji semula pengeluaran lesen perniagaan pusat hiburan keluarga oleh Pihak Berkuasa Tempatan di negeri ini sebagai usaha membanteras kegiatan jenayah dan gejala sosial.

Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, rombakan perlu dilakukan memandangkan ada pusat perniagaan yang didaftarkan atas nama pusat hiburan keluarga itu mengendalikan perniagaan tidak sewajarnya seperti judi Internet.

"Ada beberapa kesukaran apabila pihak berkuasa melakukan serbuan kerana pengendalinya mengubah pusat judi itu sebagai pusat hiburan keluarga. Mereka (pengendali) bijak, jadi kita (kerajaan negeri) mesti kena lebih jadi bijak.

"Kalau mahu berfungsi sebagai pusat Internet, maka lesen hendaklah berdaftar sebagai pusat Internet dan tidak boleh berdaftar sebagai pusat hiburan keluarga," katanya.

Mohamed Khaled berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan lawatan kerja ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, di sini hari ini. Hadir sama, Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff.
Beliau berkata, terdapat 155 pusat hiburan keluarga di seluruh negeri ini dan kerajaan negeri tidak akan mengeluarkan lesen untuk perniagaan pusat hiburan keluarga sekiranya masalah berkenaan berterusan.
BERNAMA.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Dipersilakan komen.