Untuk Memilih Tajuk Artikel Dalam Blog Ini, Sila Taip Perkataan di sini.

24 Ogos 2012

Skim Cepat Kaya : Pihak Berkuasa Lambat Bertindak ?

 
Hari ini di beberapa akhbar utama ada satu iklan dari Bank Negara, memberi amaran tentang penipuan pelaburan. Antara yang dinyatakan adalah:

"ANDA MUNGKIN KEHILANGAN WANG ANDA"

"Bank Negara Malaysia ingin mengingatkan orang ramai bahawa terdapat skim pengambilan deposit dan pelaburan haram yang kononnya menjanjikan pulangan yang lumayan buat pelabur"

"Skim tersebut mengajak anda melabur dalam logam berharga seperti emas, perak atau pelaburan berkaitan dengan ternakan, tanah, komoditi dan pertukaran asing".

"Sesetengah daripada penganjur skim terus mengumpan pelabur dengan jajji belian balik"

Lambat Bertindak ?

Minta maaflah kalau saya cakap, kebiasaannya sendiket seperti ini terbongkar selepas ramai tertipu dengan kerugian berjuta-juta ringgit. Penganjur sudah kenyang, baru perkara haram ini dibongkarkan. Ada juga yang kena dakwa adalah orang tengah dan orang bawah, bukan ketua atau kepala skim ini. Kenapa tidak bertindak awal ?

Sudah banyak skim penipuan yang mengaut keuntungan dan beroperasi secara terang-terangan tanpa disekat. Dengan meluasnya penggunaan internet, saya percaya semakin ramai lagi mangsa yang tertipu berbanding dulu. Dulu 'Skim Pak Man Telo' dalam tahun 80-an, ramai orang kita tertipu seluruh negara. Itu cerita tahun 80-an saya masih sekolah rendah dan belum tumbuh misai lagi, jadi malaslah saya cerita banyak. Saya nak cerita yang masa saya dewasa, contohnya Swiscash, Empay, Buluhmas, Faza Amal dan lain-lain.

Soalnya kenapa lambat bertindak sehingga ramai dah kena tipu, baru nak benteras ? Contohnya Swiscash, Empay, Buluhmas dan Faza Amal yang beroperasi kira-kira setahun, baru nak disekat. Nak kata tidak disekat, tidak juga, Bank Negara dah beri amaran dengan menyenaraikan nama syarikat ini sebagai 'tidak sah' atau 'pelaburan haram'. Soalnya berkesan atau tidak ? Kalau berkesan, tidaklah perkara ini terus beroperasi menipu mangsa.

Pindaan Undang-undang

Saya faham apa kuasa Bank Negara, iaitu institusi yang bertindak mengikut bidang kuasa dan peraturan yang ditetapkan saja. Bank Negara tidak boleh bertindak di luar bidang kuasa mereka, mereka sudah berusaha sebaik mungkin untuk menyelamatkan duit kita dari ditipu skim ini. Antara usahanya adalah memberi nasihat di akhbar dan internet mengenai penipuan skim ini. Tindakan mendakwa juga bukan suatu yang mudah kerana tertakluk dengan banyak prosedur mereka.
 
Jadi, dalam hal ini, saya rasa perlu pindaan undang-undang terutama dalam dunia internet untuk menyekat penyalahgunaan internet ini. Kita jangan lupa, internetlah satu media cukup berpengaruh dalam menyebarkan maklumat dan menambah ahli atau pelabur baru. Kalau orang yang menghina atau mewujudkan perbalahan kaum di internet, boleh ditangkap dan didakwa di mahkamah, kenapa pula orang yang terlibat dalam skim cepat kaya di internet tidak ditangkap sama ?

Kalau jawapannya tiada undang-undang, kenapa tidak diadakan pindaan undang-undang ? Sebelum pindaan dilakukan, satu kajian khusus dari pakar-pakar termasuk ahli internet dan pelaburan dilibatkan sama. Kalau ini adalah satu usaha yang baik, tiada masalah di kalangan ahli-ahli parlimen termasuk yang berlainan parti akan menyokong kerana melibatkan kepentingan semua.

Penipuan Pengkilanan

Dalam amaran Bank Negara di internet, Bank Negara kata:

"Skim tersebut mengajak anda melabur dalam logam berharga seperti emas, perak atau pelaburan berkaitan dengan ternakan, tanah, komoditi dan pertukaran asing".

Saya nak minta Bank Negara masukkan satu lagi iaitu pengiklanan, selain emas, perak, ternakan, tanah, komoditi dan pertukaran asing. Sebelum ini pun, iaitu skim Empay dan BULUHMAS adalah skim pengiklanan.

Penipuan Terbaru Pengiklanan

Di internet, seorang kenalan FB saya promosi pada saya satu skim. Bila saya beri amaran supaya berhati-hati dengan penipuan, dia jawab, ini bukan pelaburan tapi pengiklanan. Yer, jadi pentinglah juga Bak Negara masukkan 'pengiklanan' sebagai satu modus operandi penipuan pelaburan.

Ustaz dan Pak Imam Jadi Agen

Ustaz dan Imam adalah orang yang cukup berharga, terutama untuk meyakinkan orang ramai mengenai skim ini. Semua skim yang saya sebut di atas tadi, semuanya ada ustaz yang dihormati masyarakat sebagai agen. Mereka jadi agen dengan cara masuk skim ini dan ditawarkan keuntunagan lebih sekiranya dapat mencari ahli baru. Perbualan saya dalam FB tu, seorang Pak Imam mempertahankan skim itu adalah bukan penipuan.

Kena Bayar

Bila saya tanya lanjut, skim ini kena bayar ratusan ringgit. Harga itu bukanlah mahal sangat dan cukup mudah untuk menambah ahli. Selepas menyedari mendapat keuntungan dan melihat angka-angka keuntungan di internet, maka ramai juga yang menambah duit pelaburannya untuk mendapat untung lebih. Maka jumlah seorang pelabur mencecah angka ribu atau puluh ribu, malah yang ada duit banyak sehingga ratusan ribu.

Jadi, skim cepat kaya ini perlu dibenteras segera, bukan sudah kebas duit orang banyak-banyak, baru nak sekat.

Nak Tahu Pasal BULUHMAS, Klik Sini

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Dipersilakan komen.