Untuk Memilih Tajuk Artikel Dalam Blog Ini, Sila Taip Perkataan di sini.

17 November 2011

Ke arah Memartabatkan Mahkamah Syariah

MAHKAMAH Syariah merupakan sebahagian daripada sistem perundangan di Malaysia. Dalam membangunkan sistem perundangan di Malaysia mahkamah syariah tidak boleh dikesampingkan kerana ia mempunyai implikasi yang besar terhadap susur galur dan sistem bermasyarakat di Malaysia.
Walaupun sebahagian masyarakat di Malaysia memandang rendah terhadap Mahkamah Syariah namun hakikatnya ia adalah institusi sah yang mempunyai peranan penting di Malaysia.

Sebenarnya Mahkamah Syariah jauh lebih dahulu wujud berbanding dengan mahkamah sivil namun pembangunan Mahkamah Syariah terbantut kerana tidak diberi perhatian oleh penjajah. Setelah negara mencapai kemerdekaan Mahkamah Syariah masih ketinggalan kerana tidak ditingkatkan martabatnya oleh pihak berkuasa.

Kejanggalan terhadap Mahkamah Syariah ini diperteguhkan lagi kerana sistem yang ada dilihat tidak menyokong ke arah memartabatkan Mahkamah Syariah di Malaysia. Umpamanya perbezaan yang amat ketara dapat dilihat dalam struktur mahkamah syariah dan mahkamah sivil. Mahkamah sivil bermula dengan Mahkamah Majistret, Mahkamah Sesyen, Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan manakala tingkatan Mahkamah Syariah pula bermula dengan Mahkamah Rendah, Mahkamah Tinggi dan akhirnya Mahkamah Rayuan Syariah.

Hanya terdapat tiga sahaja tingkatan Mahkamah Syariah berbanding mahkamah sivil yang mempunyai lima hierarki.Menelusuri lebih mendalam lagi kita akan mendapati bahawa bukan sahaja prasarana mahkamah syariah agak ketinggalan dari mahkamah sivil tetapi juga gaji hakim-hakim syarie juga terlalu kecil berbanding rakan seangkatan mereka di mahkamah sivil. Peruntukan kuasa menjatuhkan hukuman yang terlalu kecil di dalam bidang jenayah juga sudah lama diperjuangkan untuk penambahan bidangkuasa jenayah tetapi sehingga kini masih lagi belum dimaterialisasikan lagi.

Peguam yang beramal di Mahkamah Syariah juga tidak dikawal seperti mana rakan peguam mereka di mahkamah sivil. Ini jelas menunjukkan kepincangan yang ada boleh menyebabkan disiplin dan kualiti perkhidmatan yang diberikan oleh Peguam Syarie berkemungkinan akan terjejas.

Apatah lagi sistem pendidikan berterusan tidak diterima oleh Peguam Syarie setelah mereka diterima masuk sebagai seorang Peguam Syarie. Mereka seolah-olah dilepaskan begitu sahaja tanpa sebarang bimbingan.Tamsilan di atas adalah sebahagian dari perbandingan yang boleh dibuat antara Mahkamah Syariah dan mahkamah sivil. Jelaslah daripada sudut itupun kita akan mendapati amat besar keperluan bagi terus memperkasakan Mahkamah Syariah di Malaysia.

Pemerkasaan Mahkamah Syariah perlu seiring dengan peredaran masa bagi mempastikan mahkamah syariah tetap relevan pada semua ketika. Adalah amat penting bagi sebuah badan kehakiman syariah di Malaysia bebas daripada sebarang pengaruh luaran yang boleh memprejudiskan keadilan. Sudah tiba masanya para hakim syariah tidak lagi diletakkan sebagai penjawat awam tetapi diujudkan skim khas yang dapat menjamin kebebasan institusi perundangan syariah.

Sejak kebelakangan ini pelbagai usaha digarap oleh pihak kerajaan bagi meninggikan lagi institusi Mahkamah Syariah ini. Namun usaha sebegini harus dilipatgandakan kerana Mahkamah Syariah agak ketinggalan dalam banyak aspek. Namun begitu adalah amat tidak adil jika kita membuat kesimpulan yang negatif sahaja terhadap Mahkamah Syariah. Walaupun terdapat pelbagai kekangan dan halangan yang dihadapi oleh Mahkamah Syariah, ia jauh ke hadapan dalam isu lambakan kes dan penyelesaian kes dengan kadar segera.

Sistem sulh atau mediasi di Mahkamah Syariah pula telah mempercepatkan proses perbicaraan di mahkamah itu sedangkan mahkamah sivil baru memulakan prosiding mediasi di mahkamah. Sudah sewajarnya pengiktirafan yang sebenar diberi kepada Mahkamah Syariah bagi membolehkan ia bertindak dengan lebih efisien. Pelbagai anugerah yang diterima Mahkamah Syariah adalah manifestasi kesungguhan mahkamah tersebut mahu keluar daripada kepompong yang sering mengikat institusi agama di Malaysia.


Artikel tulisan Peguam Zainul Rijal bin Abu Bakar yang disiarkan dalam akhbar Utusan Malaysia.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Dipersilakan komen.