Untuk Memilih Tajuk Artikel Dalam Blog Ini, Sila Taip Perkataan di sini.

15 Mei 2011

Rumah Lelong Episod 9 (Simpati Dengan Tuan Rumah)


Dari rumah saya di Persiaran Tanjong, pagi tu ronda-ronda kat satu taman tak jauh dari situ selepas pergi kedai mamak. Sampai di satu rumah tu, nampak satu iklan terlekat kat pintu pagar. Apa yang saya nampak, nampaknya kertas tu baru saja ditampal. Saya berhentikan kereta dan turun dan lihat di pintu pagar rumah tu.

Alamak, lelong rumah tu dalam RM 110,000, murah sangat. Itu rumah teres bukan kondo atau pangsapuri. Saya pernah tanya dulu dalam tahun 2003, rumah kat situ harga lebih RM 200,000 orang nak jual. Sekarang saya anggar harga dalam RM 150,000. Saya tulis butir-butir berkenaan lelong iaitu tarikh lelong, syarikat yang melelong dan  nombor telefon pelelong. Kemudian saya ambil gambar pakai handphone murah saya.

Kawan Sepejabat

Masa tengok rumah tu, kat sebelah rumah tu, saya ternampak kereta yang saya biasa lihat iaitu kereta kawan sepejabat saya. Baru saya ingat, dia beli rumah sebelah rumah tu dalam setahun yang lepas. Tapi saya buat senyap saja, tak bising-bising, nak masuk rumah lelong kenalah senyap-senyap.

Petang tu, saya rasa nak pergi tengok sekali lagi rumah tu. Nak betul-betul puashati sebab congak-congak, rasa saya nak masuk lelong seminggu lagi. Tapi, bila sampai kat rumah tu, kertas tadi dah tak ada. Dan didapati ada kereta dalam pagar dan pintu terbuka. Dari yang saya lihat, itu rumah keluarga sebab banyak kasut, ada basikal budak dan baju bersidai. Rasanya tuan rumah tu yang koyakkan.

Tanya member

Esoknya, Isnin saya jumpa member kat pejabat tu kat kantin. Tanya dia, konon-konon nak cari rumah sewa kat sekitar rumah dia tu. Dia kata tak ada kosong dan payah rumah situ nak kosong. Saya tanya rumah dia, beli berapa ribu ? Dia kata, semua sekali gedebak gedebuk RM 160,000. Dia buat loan, bayar bulan dalam RM 900 sebulan.

Ermmm

Ermmm, memang member tu tak tahu yang rumah sebelah rumah dia akan dilelong. Saya yang jauh lagi tahu. Maka kira confirm ler saya masuk lelong tu. Mana tahu rezeki saya nanti. Target saya, rumah tu kalau dapat harga tu, nak buat loan macam biasa dan saya kira dalam RM500 sebulan. Sewa di situ dalam RM600 ke atas. Satu lagi, beli jer lepas tu nak jual dalam harga RM 160,000 macam member tu beli. Macam-macam saya fikir walaupun rumah belum dapat lagi.

Hari Lelong

Saya dah sedia dengan bank draf sepuluh persen dan pergi ke Mahkamah Johor Bahru pada hari lelongan. Sampai sana, rupanya bukan satu, tapi lebih 20 biji rumah lelong dan ada juga lelong tanah. Pelelong pula bukan satu, ada dalam 4-5 pelelong. Sampai kat situ, seorang lelaki  menegur saya. Dia dah kenal saya sebab beberapa kali ada di tempat lelong.

Dia tanya saya masuk rumah mana satu. Oleh kerana memang dah kenal dia, saya cerita rumah kat situ. (kalau orang yang baru dan belum ada pengalaman masuk lelong, elok jangan bercerita dengan orang yang kita tak kenal, takut orang tu nak intip rahsia kita). Lelaki tu kira macam ulat juga dalam bab lelong ni. Saya panggil ulat sebab saya tak tahu apa kerja dia. Tapi kadang-kadang berkawan dengan ulat ni ada baik juga.

"Ayyaaa.. itu ramai orang mahu lawan, banyak susah". Kata lelaki tu.

"Betul ker itu macam, tak boleh kasi saya ker ?" Tanya saya.

"Ini rumah tak berani nak tolong, ini ramai orang, ingat sudah sampai 10 orang". Kata dia lagi.

Alamak... 10 orang ? Terkejut juga saya tapi rilek saya. Saya pula jalan-jalan kat orang ramai tu. Sekali-sekali tegur dan tanya dia orang. Saya tanya, beberapa orang mengaku nakkan rumah tu. (Patut jangan mengaku, diam-diam saja).

Lelaki ulat tadi lalu depan saya dan buat isyarat tangan. Saya percaya tandanya, rumah tu akan terus lawan juga dan tak ada orang yang nak menarik diri.

Masuk Mahkamah

Bila masa rumah itu dilelong, pelelong memaklumkan yang rumah tu ada 12 pembida termasuk saya. Alamak, ingatkan 10, rupanya 12. Bila sebut saja rumah yang saya nak lelong tu, tiba-tiba ada seorang lelaki dan seorang wanita berkata-kata sesuatu.

"Tuan hakim, saya mohon rumah saya tidak dilelong, tolonglahh, saya tak ada tempat nak tinggal" Kata lelaki itu. Hakim diam saja, kemudian meminta 12 pembida untuk berkata-kata.

Saya diam saja, lahir rasa simpati pada tuan rumah tu. Yer le, kita masuk lelong bukan sebab tak ada rumah, ada rumah, cuma nak tambah orang rumah. Opsss bukan orang rumah, nak tambah rumah...

Kemudian seorang wanita berkata-kata iaitu mungkin isteri dia.

"Tolonglah, kalau dilelong pun, kami akur. Tapi saya pun masuk lelong untuk beli rumah ini. Harap orang lain berilah saya rumah ini". Kata wanita itu.

Hakim tetap jalankan tugas melelong dan terpulang pada pembida lain kata hakim. Saya diam saja tapi ada beberapa orang yang tak setuju menarik diri dan mahu lawan kalau lelongan diteruskan. Oleh kerana pembida lain hendak teruskan, maka lelongan diteruskan.

Saya Tak Berani Nak Lawan Tinggi-tinggi

Beberapa pembida lawan tak putus-putus. Saya mulanya diam, mungkin saya nak bersuara dipenghujung, mungkin. Itupun kalau harganya munasabah, kalau munaserawak, saya diam sajalah sampai akhir. Rupanya memang lawan cukup kuat, macam ulat kat luar tadi cakap. Kalau tak silap saya, yang dapat tu harga dalam RM 165,000 (lebih kurang, saya lupa yang tepat). Yang dapat tu orang lain, bukan tuan rumah tadi.

Baliklah

Baliklah saya, ambil semula bank draf dan pergi tukar kat bank. Masa bawak kereta tu, terfikir juga saya. Kalau dapatpun rumah tu, hati tak sedap. Rasa macam nak rampas rumah orang pulak rasanya. Itu perasaan saya, walaupun undang-undang tak kata begitu. Itu kali pertama saya tengok lelong rumah orang tuan rumah merayu macam tu.

Dulu Kenapa Sampai Rumah Kena Lelong ?

Tak tahulah lepas ni orang tu duduk mana, rumah dah kena lelong. Tapi terfikir juga saya, dulu sebelum kena lelong, kenapa boleh kena lelong ?... Pertama kenapa tak bayar bank ? Yer le, jawapannya ada masalah kewangan dan tanggungjawab lain termasuk anak sekolah dan bayar kereta.

Kedua, kenapa tak selesaikan masalah kewangannya. Susah sangat, jumpalah saya sebagai perunding kewangan. Dalam kes ini, mungkin tuan rumah boleh jual rumah ini dengan harga yang sesuai dalam RM 150,000 sebelum kena lelong.

Rumah di situ mahal dan harga itu saya percaya ada orang beli. Kalau tak 150,000 pun, boleh kurangkan dalam 140,000. Boleh bayar hutang rumah tu dan ada duit lebih sikit untuk pindah ke rumah sewa sementara waktu. Lepas ni, kalau ekonomi kukuh sikit, belilah rumah lain di JB.

8 ulasan:

  1. Salam Ustz, Saya pernah beli rumah kondo lelong di lembh Klang. Tinggal dgn mertua di tkt 1 pd awal perkahwinan then beli rumah tkt 3.

    Ceritanya, pd awalnya tuan rumah iklankan rumah utk d jual pd harga RM 165,000, mintak kurang dpt RM163 itu pun payah. Takdir Allah esoknya dapt flyers di pos box kata rumah tersebut akan di lelong RM 140. Call pelelong nak pastikan betul ker rumah nie akan dilelong dia dah 2 kali buka. Saya call tuan rumah kata rumah nie nk kena lelong, dia nafikan.

    Saya x jadi beli dari dia dan contact pelelong. kemudian ada jiran kenalkan dengan ejen lelong rumah dan x ada charge yg dikenakan cuma dia akan dapat dari bank. Buat bank draf 5% dari harga rumah dan pegi beat kat Brickfields. Masa mula2 x sapa pun masuk nak beat rumah tu. kemudian si ejen kata ada satu cina tua nak masuk beat rumah tue jugak padahal masa daftar nak tutup.

    Dikhabarkan ole si ejen bahawa org nie selalu beli rumah lelong tapi saya merasakan ada konspirasi antara ejen & org tua tersebut yang pada ketika itu saya mmg nk sangat rumah itu. Si ejen menasihatkan agar membayar org tua tue utk tarik diri dari lelongan itu. Org tua nk RM3500, minta kurang dapt RM3000. Saya dapat rumah tue. tapi rasa2 macam kena tipu dgn ejen tue. Masalah x abis kat situ jer.

    Saya buat loan dgn satu Bank & kena bayar semua bil & maintenance rumah tue lebih kurg RM5000 bank owner rumah tue(x ingat bank ape) x nak bayar. Semua urusan (peguam, dgn pemaju, settlekan hutang) kena selesaikan dalam masa 120 hari.

    Lewat saya kena bayar interest pada bank. saya x dapat selesaikanya dalam 120 hari atas sbb lambat dapat approval kat pemaju, masalah dgn peguam yg lambat follow-up, kena bayar RM 1000 lebih jugak ler. Banyak saya silap dalam menguruskan proses rumah lelong nie punca tiada ilmu didada & tergesa2.

    Tuan rumah dapt kutip sewa 3 bulan lak tue dalam tempoh urusan dengan bank. Saya x tau yang penyewa boleh di usir dari rumah tue. Mmg best beli rumah lelong sbb murah tp kena byk buat study.

    Apa komen Ustz, ustz ada hadapi benda yang sama mcm saya x.
    ...Org Purun, Bera, Pahang

    BalasPadam
  2. Soalan : Apa komen Ustz, ustz ada hadapi benda yang sama mcm saya x.

    Jawapan : Mestilah tak sama.

    BalasPadam
  3. Assalamualaikum,

    kalau jadi macam Org Purun ni ustaz, apa yang nasihat ustaz untuk mengelakan perkara ini terjadi pada kami yang akan membeli rumah lelong ini.

    Ustaz pakai ejen juga masa lelongan dijalankan @ pergi sendiri?

    Masalah kelewatan pengurusan tukar nama, apa tindakan yang ustaz buat bagi mengelakan kita kena bayar interest pada bank?

    MINTA TUNJUK AJAR.

    BalasPadam
  4. Kisah Orang Purun ni memenglah berbeza dengan saya. Mana ada dalam dunia orang ada kisah yang sama.

    Okey, saya tak pakai agen, sendiri saja. Kalau ada agen ini kekadang susah nak percaya. Jadi kena pandai sendirilah. Agen ini kalau kena orang yang tak jujur, nanti kena lipat kiri kanan. Tak payah saya huraikan apa dia lipat-lipat tu.

    Berkenaan bank tu, sebenarnya sebelum kita masuk lelong, pastikan kita sudah dapat kepastian tentang loan yang akan kita buat. Iaitu sebelum lelong, pergi tanya pada bank dulu.

    Adakah kita layak buat pinjaman, berapa tahun, berapa jumlah. Jangan main agak-agak saja, nanti rumah dah dapat, loan tak lulus, nanti rumah tu bank tarik semula. Tapi jangan dedahkan lokasi rumah yang kita nak masuk lelong tu pada pegawai bank tu. Sebab apa ? Tak payahlah tanya saya lagi.

    Kalau kakitangan kerajaan, boleh fikirkan, mungkin juga boleh buat personal loan kalau kita nak beli rumah lelong ini. Sekarang ini banyak bank boleh beri pinjaman dengan kadar berpatutan.

    Soal lambat tukar nama, biarlah lambat, apa ada kisah, tak jejas apa-apa, janji peguam kita buat kerja. Nak cepat sangat tukar nama buat apa ? Yang penting rumah kita dah dapat.

    BalasPadam
  5. wah lagi dasyat dugaan dia dengan sindiket dari saya sampai rm3.5k dimintanya...

    BalasPadam
  6. ustaz, saya nak tanya pula apakah hukumnya orang yang bekerja sebagai ulat ni? dan bagaimana pula dengan orang yang bekerja dengan ulat ni? sebab diorang ni umpamanya mendapat duit atas angin je.

    BalasPadam
  7. Salam..
    Sebelum kita beli rumah lelong, kita kena semak syarat2 jualan yang pihak bank keluarkan. Kita boleh minta dari pihak pelelong. Lain bank, lain syarat2 jualan. Sebagai contoh, CIMB bank akan tanggung tunggakan maintenance dan cukai pintu sehingga tarikh lelongan, tanpa mengambil kira dah berapa kali unit tersebut dilelong. Affin Bank akan menanggung tunggakan maintenance dan cukai pintu sehingga lelongan kedua sahaja. Bila dah masuk lelongan ketiga, dia tak tanggung dah.

    Mempercepatkan proses loan disburse lebih penting dari mempercepatkan urusan pindah milik nama. Ada beza urusan tersebut, kerana setelah loan disburse, baru urusan pindah milik nama akan berjalan. Untuk mempercepatkan urusan loan disburse, pun penting, untuk elakkan kes berlanjutan dan perlu extand, lantas melibatkan kos tambahan (penalty). Kena rujuk lawyer yang dah biasa buat kes lelong.

    Ulat yang makan atas angin ni, saya pun berbelah bagi. Kadang2 susah nak tentukan genuine kes yang benar2 nak masuk lelong, atau nak makan atas angin. kalau yang kes genuine tu, kita bincang untuk tentukan siapa yang dapat rumah, yang mengalah tu kita bagi sagu hati, mungkin 1k ke, 2k ke..

    BalasPadam
  8. Assalamualaikum mohon penjelasan.pada asasnya hukum jual beli lelong adalah harus.Bagaiman pula jika wujud kawtim dikalangan pembida 'duit saguhati' bukankah boleh dianggap sebagai beli diatas belian org lain.dalam satu keadaan lain pula kita menganiaya tuan rumah yg dilelong sbb tidak berlaku kenaikkan harga setelah di kawtim. Seperkara lagi kalau ada tuan rumah ada kat dalam rumah yg kena lelong rasanya x perlu la bid.hari kita memandang org yg bermasalah dgn penuh kasih.insya allah allah akan memandang kita dgn rasa kasih jua.sekadar pandangan dan mohon penjelasan.

    BalasPadam

Dipersilakan komen.