Untuk Memilih Tajuk Artikel Dalam Blog Ini, Sila Taip Perkataan di sini.

31 Mei 2011

Kereta Terbakar Kemalangan

Tengok gambar kereta ini pun sudah dapat agak, betapa ngerinya kemalangan ini. Kawan saya kata, kemalangan berlaku di sekitar Kluang ini berhampiran Hotel Nagaria, Jalan Batu Pahat. Jalan itu nampak selamat dan tak merbahaya, tetapi tak tahulah kenapa sampai jadi kemalangan sebegini.

Kereta mungkin jenis Iswara. Kejadian berlaku dalam jam 11.00 malam semalam. Dia kata, dua orang terkorban dan seorang terselamat.

BERHATI-HATI DI JALANRAYA....


Terima Kasih Kepada Pencuri....

Semalam saya singgah solat di sebuah masjid di sebuah negeri. Terbaca satu tulisan besar di dinding hadapan masjid tu.



"Terima kasih kepada pencuri yang sentiasa mencuri barang-barang dalam masjid ini. Tapi ingat, balasan Tuhan pasti akan tiba, tunggu.".

Itulah tulisan yang tertulis di situ sebagai peringatan kepada pencuri, dekat masjid pun nak mencuri.

Kadi Kulai Nikahkan Salih Yaacob Isteri Keempat Semalam : Youtube



Haji Mohd Fahmi bin Abdul Samad, Kadi Kulaijaya Johor menikahkan Salih Yaacob, isteri keempat.

Katanya selepas ini nak berbulan mmadu di China dan bawa kesemua empat isterinya ke sana. Selamat Pengantin baru.

30 Mei 2011

Mistisfiles : Kampung Bunian ? Kenapa Gambar Ini ?


Dua hari lepas, saya ke satu lokasi di dalam negeri Pahang. Diceritakan kepada saya lebih 10 tahun lalu yang tempat ini adalah perkampungan orang bunian. Dan saya sudah banyak kali ke kawasan ini. Bagaimanapun, lokasinya saya rahsiakan.

Air Mata Air

Yang menarik perhatian saya adalah berkenaan air mata air yang terdapat di sini. Sudah beberapa kali saya ke sini untuk ambil air untuk terus minum. Pada jam 9.30 pagi dua hari lepas saya ke sini seorang diri. Nampaknya sekarang tempat itu jadi tumpuan orang juga terutama dari kampung itu. Saya ambil dua botol besar dan sebotol kecil. Saya buat minum air itu dalam kereta, sekarang dah tinggal sebotol besar.

Pada saya, air dari mata air itu ada khasiat yang tersendiri. Orang kata air di situ mempunyai khasiat seperti miniral yang tinggi. Yer, saya dapat rasa perbezaannya terutama peredaran darah dan kulit yang lebih licin selepas minum. Bagaimanapun, kajian saintifik tidak ada lagi setakat ini. Di Pahang juga terkenal dengan air GAU yang dibotolkan dan menembusi pasaran seluruh negara. Saya rasa, air mata air yang saya ambil itu ada persamaannya dengan air GAU itu.

Cerita Bunian

Pasal cerita bunian ini saya tak ambil kisah sangat. Semua ini tidak dapat dibuktikan dalam alam nyata. Dalam Islam, kepercayaan kita kepada makhluk halus seperti bunian ini bukan termasuk dalam rukun iman yang wajib kita percaya. Yang wajib kita percaya adalah kepada Allah, Malaikat, rasul dan lain-lain dalam rukun iman. Jadi pasal bunian ini, nak percaya percaya, tak percaya sudah, tak jejaskan keimanan kita.

Saya datang ke situ seorang diri di tempat terpencil itu, tidak jumpa orang bunian pun, orang biasa pun saya tak terserempak. Sedikit menghairankan saya, tempat itu macam ramai pengunjung dan ada jalan tar ke situ dan ke hadapan lagi. Saya teruskan ke depan dan saya dapati ada 3 biji rumah. Bila saya hampiri rumah itu, rumah itu kosong tiada penghuni. Walaubagaimanapun, rumah itu terpelihara dan bersih seperti ada orang. Sengaja saya pusing kereta betul-betul di hadapan rumah itu, kalau-kalau ada orang yang muncul tapi tiada.

Cerita yang popolar di situ, sejak dulu, di situ didiami oleh orang bunian. Di situ kampung mereka dan hidup seperti orang kita. Nak kata cerita ini betul, tak tahulah betul atau tidak, tapi yang cerita ini adalah orang yang ada nama juga. Tapi, yang saya pergi hari itu, tidak ada sesiapa pun yang tinggal di situ.

Apa Jadi Pada Gambar Saya ?

Saya ada ambil 6 keping gambar di situ di lokasi air mata air dan rumah kosong itu. Mulanya saya cadang nak masukkan gambar itu dalam blog saya. Tapi saya gagal. Ini menimbulkan tandatanya pada saya... Gambar dari telefon saya, gagal hendak pindahkan ke komputer melalui 'bluetoot'. Mula saya ingat komputer saya rosak tapi rupanya tidak.

Pagi ini, saya ambil gambar masjid di Dungun dan saya masukkan ke dalam blog, boleh pula. Tapi kenapa gambar di lokasi misteri itu tidak berhasil ? Saya sedang cuba mengatasi kesulitan ini tapi setakat hari ini masih gagal. Nanti kalau sudah berjaya, saya cadang nak masukkan dalam blog ini. Bukan ada gambar apa sangat, cuma lokasi air mata air saja.



Rupanya Saya Dah Tua


Saya singgah di Masjid Dungun, Terengganu seorang diri. Sambil itu buka kumputer kejap, duduk di kerusi dan meja di sebelah luar. Tengah buka komputer tu, saya nampak ada 3 orang wanita dalam lingkungan 20-an. Dia datang kepada saya dan kata.

"Pakcik, tandas wanita mana ?" Tanya salah seorang perempuan tu.

Saya tunjuklah yang tandas perempuan sebelah belakang, yang ini tandas lelaki. Ermmmm......'pakcik'. Terasa tua rasanya.... hehehe.

29 Mei 2011

Waspada 'Bir Halal' Dalam Pasaran, Macam-macam Penipuan Halal


Umat Islam di negara ini diingatkan supaya tidak meminum sejenis bir yang didakwa halal oleh syarikat pengedarnya kerana didapati mengandungi alkohol melebihi had yang dibenarkan syarak.

Dakwaan syarikat itu bahawa kandungan alkohol cuma 0.01 peratus adalah tidak benar selepas ujian makmal mendapati kandungannya sebanyak 0.5 peratus.

Akhbar semalam melaporkan mengenai penjualan 'bir halal' di pasaran yang semakin popular di kalangan umat Islam dan dikesan Jabatan Agama Islam Johor (JAIJ) baru-baru ini.

Minuman yang diimport dari sebuah negara Islam di Timur Tengah itu banyak terdapat di kafe-kafe di negara ini yang dijual antara RM3 hingga RM5 sebotol.






27 Mei 2011

Menentu dan Mengesahkan Arah Kiblat, Esok 28 Mei 2011 Berdasarkan Cahaya Matahari

Esok, Sabtu 28 Mei 2011 adalah satu hari yang penting juga. Iaitu, kita di Malaysia boleh mengukur arah kiblat yang tepat pada jam kira-kira 5.16 petang. Kalau terawal dalam 15 minit atau terlewat 15 minit, masih dikira hampir-hampir tepat juga. Pada masa tersebut, kita boleh mengukur kedudukan kiblat yang tepat mengikut cahaya matahari. Peristiwa seperti ini dinamakan istiwa a'zam.

Kepada semua, jangan ketinggalan untuk menentukan kedudukan kiblat di rumah masing-masing kerana peristiwa ini tidak selalu berlaku. Satu lagi tarikh pada tahun ini adalah 16 Julai 2011.

Cara paling mudah adalah memacak kayu dengan tegak dan melihat ke arah belakang kayu seperti gambar di atas.

26 Mei 2011

Tak Sedar Diri Badan Makin Gemuk (Episod 2)


Wanita ini terus merasakan badan dia tak naik, rasa mantain jer. Suatu hari tu, dia pergi farmasi, beli ubat batuk anaknya naik kereta seorang diri. Kat dalam farmasi tu, sebelah ujung ada timbang untuk dijual yang diletak di bahagian bawah. Oh yer, dia pun dah lama, dalam 4-5 hari tak timbang kat rumah sebab dia rasa berat dia tentu tak naik dari 55 kg.

Tapi bila dia berdiri atas timbang tu, alamakkkkk. Terkejut bila tengok berat dia 74 kg. Merah  muka dia dan terus dia panggil jurujual tu.

"Berapa harga timbang ni ?". Tanya wanita tu.

"Yang ini 39.90". Kata jurujual wanita Melayu tu.

"Okey, tolong ambil yang lain, takut yang ini rosak". Kata wanita tu.

"Tak rosaklah, ini jenama terkenal, garenti elok. Tapi tak apa kak, saya ambil lagi satu". Kata jurujual tu.

Jurujual tu capai yang satu lagi dan wanita tu timbang sekali lagi. Alamakkkkk, memang 74 kg. Merah padam wanita tu dan menggelabah. Masa tu juga, jurujual tu ambil lagi satu dan letak kat bawah. Sekali lagi wanita ni timbang guna penimbang yang ketiga. Alamakkk 74 kg juga.....Adoiiiii, tidakkkkkkkkkkkkkkk.

Dah gitu, wanita ni rasa kalau tak beli timbang tu macam tak patut. Rasa malu pula dengan tauke kedai tu. Yer le, test sampai tiga sekali tapi kalau tak beli, tak patut.

"Dik, harga 39.90 ni ada diskaun ker ?" Tanya wanita tu.

"Nanti kakak tanya tauke kat kaunter tu". Kata jurujual tu.

Di kaunter, wanita ni nak bayar penimbang tu dengan sebotol ubat batuk sekali.

"Tauke, yang ini ada diskaun ker ?" tanya wanita tu.

"Ohhh yang ini 39.90 sudah murah, ini ada nama punya barang". Kata tauke lelaki Cina dalam 40-an.

"Tauke, saya beli dulu timbang 18.90 saja dekat itu hypermarket". Kata wanita tu.

"Ohhh itu barang gua tak ada jual punya, itu lauya punya gua tak jual, itu barang kastemer banyak komplen. Itu timbang cepat rosak punya". Kata lelaki Cina tu.

Macammana pun perempuan tu beli juga 39.90. Dalam kereta, wanita ni malu besar. Rupa-rupanya selama ini timbang dia rosak. Yer le, timbang tu dah 4-5 tahun beli murah 18.90 kat hypermarket, masa tu ada sale. Teringat juga kawan-kawan cerita, kalau ada sale harga runtuh mungkin ada apa-apa, mungkin kualiti rendah.  Macam lelaki tauke itu kata 'lauya' punya.

Cissss.... ingatkan berat 55, rupanya 74, patutlah rasa gemuk semacam je. Dulu laki dia dah kata dia gemuk, tapi dia kata tak. Sahlah dia wanita 3G: Gemuk, Gebu dan Gedempol. Tak tahulah dia ahli ke berapa kelab 3G tu.

 Mulai hari tu, wanita ni jadi pendiam kat pejabat dan sering melarikan diri kalau kawan-kawan sembang pasal nak kuruskan badan. Pengalaman memalukan sudah ada.....

dari Episod 1

Tukar Jantina: Lelaki Mohon Jadi Perempuan


Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu sedang dalam perbicaraan permohonan seorang lelaki untuk menukar namanya dalam MyKad kepada nama wanita selepas menjalani pembedahan tukar jantina.

Mohd. Ashraf   mengemukakan permohonan untuk menukar namanya kepada Aleesha Farhana.

25 Mei 2011

Pelajar Sekolah Campak Kotak rokok, Terjun Dari Bas


Tengahari tadi di satu lokasi, saya lalu belakang sebuah bas. Tiba-tiba nampak pelajar buang kotak rokok dari dalam bas. Saya ambil telefon nak ambil gambar, nak rakamkan gelagat dia orang.

Tak lama lepas tu bas berhenti dan pintu kecemasan di belakang sebelah kanan dibuka dari dalam. Kemudian ada seorang pelajar terjun. Oleh kerana terjunan dia tak berapa betul, dia jatuh tertiarap. Mungkin lutut dia luka.

Dia bangun cepat, macam malu sebab saya tengok. Dia lintas depan saya, berjalan selamba jer tapi kaki dia terhencut-hencut. Alahai... kenapalah ikut pintu kecemasan, pintu depan kan ada. Kan merbahaya tu, kereta saya di belakang, nasib baik perlahan, kalau laju tak sempat nak brek. Pintu kecemasan tu kan sebelah kanan jalan bukan kiri, kan merbahaya.

Tak Sedar Diri Badan Makin Gemuk


Seorang wanita ini cukup jaga berat badan dia. Wanita 30-an, ada suami dan anak, kata badan dia kurus. Tiap kali timbang kat rumah, berat dia tak naik-naik, 55 kg saja. Maka dia macam banggalah bercerita pada kawan sepejabat yang badan dia tak naik. Katanya dia ada petua dan ada makan barang sampingan. Maka dia teruskan makan nasi dan lain-lain banyak macam biasa.

Tapi, kawan dia kata yang badan dia naik dan dia semacam tak percaya yang beratnya naik. Wanita ini pun ada rasa macam badan dia naik sebab ada beberapa baju yang ketat juga. Dalam hati, wanita ini kata kawan-kawan dia dengki kat dia yang kononnya mengekalkan keanggunan. Tapi, bila ditimbang hari-hari, berat dia tetap 55 kg juga.

Kenapa yer ?

Lelaki Mati Tergantung Dalam Lokap Balai Polis Simpang Renggam


KLUANG: Seorang lelaki yang ditahan polis bagi membantu siasatan berhubung kes pencerobohan kediaman, ditemui mati dalam lokap Balai Polis Simpang Renggam, Kluang.

Menurut Ketua Polis Daerah Kluang, ACP Mohd Fawzi Arshad, seorang lelaki umur 25 tahun ditemui mati tergantung kira-kira 10.20 pagi oleh anggota polis yang bertugas ketika mahu memindahkan lelaki terbabit ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang.

Beberapa akhbar harian hari ini melaporkan berita ini.

24 Mei 2011

RENUNGAN : Gambar Anak Yatim Bernasyid Sebelum Meninggal Dunia Dalam Runtuhan


Gambar ini dikatakan diambil pada hari kejadian Tanah Runtuh di Madrasah Al-Taqwa, Ulu Langat, Kajang. Sebahagian dari mereka telah kembali ke rahmatullah beberapa minit selepas gambar ini dirakamkan.

Lihat betul-betul gambar anak-anak ini...

Mereka kelihatan gembira dan tersenyum walaupun beberapa minit lagi malaikat Izrail akan menghampiri mereka, seterusnya mencabut nyawa mereka dari dunia ini. Mereka pergi buat selama-lamanya meninggalkan kita yang masih hidup dan meratapi kematian mereka. Sedangkan anak-anak ini tersenyum riang di saat kematiannya. Senyuman ini membawa makna yang cukup besar kepada kita yang masih hidup ini.

Kenapa mereka tersenyum ?.... Yer, mereka tersenyum kerana akan mengadap Allah dalam keadaan suci bersih seperti pakaian putih yang mereka pakai itu. Insyaallah, syurga milik mereka semua. Anak-anak kecil seperti ini ibarat kain putih yang tiada dosa  seperti orang dewasa. Ditambah lagi, suasana hidup mereka cukup bersih.

Semua ini berlaku dengan kehendak Allah yang mencintai anak-anak ini walaupun ramai insan yang menyayanginya di dunia ini terutama keluarga mereka. Janganlah kita menuduh mana-mana pihak, termasuk kenyataan yang mengatakan bangunan ini tidak mendapat kelulusan dan sebagainya. Ini bukan masa yang sesuai untuk mengeluarkan kenyataan ini sekarang.

Jangan ungkit itu semua, sebaliknya kenangkanlah pengorbanan pelbagai pihak yang menyumbang kepada penubuhan madrasah ini termasuk pemilik, penderma, guru dan individu yang tidak dikenali yang merupakan amal jariah kepada amal kebajikan yang tak ternilai ini.

Pengorbanan

Alhamdulillah, mereka semua mati dalam keadaan Islam dan iman. Mereka dibesarkan dan diberikan pendidikan agama yang cukup baik di situ. Sungguh tidak silap ibubapa   atau sedara mara yang hantar anak-anak ini ke sini. Biarpun tempat ini terpencil dan jauh dari suasana bising dan sibuk di kota, mereka tetap damai di sini. Dulu Nabi Muhammad pun dihantar ke kampung mengikut ibu susunya Halimatun Saadiah dan jauh dari kecelaruan masyarakat di ibukota.


Keimanan Tidak Runtuh

Walaupun mereka meninggal dunia dalam runtuhan, akhlak mereka tak pernah runtuh. Di alam kubur dan akhirat kelak, semoga roh dan keimanan mereka tetap teguh selama-lamanya. Berbanding anak-anak lain di luar sana yang hidup bukan dalam suasana seperti ini. Kalau mereka menemui ajal, adakah dalam keadaan yang baik seperti ini ? Belum tentu.

Alfatihah kepada anak-anak ini yang telah pergi. Takziah kepada keluarga dan sahabat-sahabat mereka.



Dah Kena Tangkap Pasal Waran Tangkap, Baru Nak Menyesal


Seorang wanita 20-an pernah ditangkap kes khalwat dengan pakwenya 20-an, tahun lepas. Perempuan tak bekerja, lelaki kerja bengkel. 

Lepas kena tangkap, dia buat derk jer, tak hadir mahkamah. Dia ingat boleh lepas ker ? Semalam, penguatkuasa agama melaksanakan waran tangkap tu dan berjaya. Dah kena tangkap, baru nak menyesal.

Sham Kamikaze, Pemain Gitar Rock Dapat Hidayah..ALLAHU AKBAR !



Peminat seni tanahair dikejutkan dengan perubahan Sham Kamikaze bekas pemain gitar utama Kamikaze apabila video beliau bercerita tentang pengalamannya mendapat hidayah mula dimuat turun di youtube.




Beliau pernah mencapai pengiktirafan yang diidamkan apabila album Kontroversi memenangi Anugerah Album Rock Terbaik di AIM 2001.

23 Mei 2011

Lagi Penemuan Penggunaan DNA Babi Dalam Makanan, Penemuan JAKIM


Mesyuarat Panel Pengesahan Halal Malaysia Bil.14/2011 yang diadakan pada 12 Mei 2011 telah memutuskan permohonan sebuah syarikat adalah tidak berjaya berikutan penemuan Deoxyribonucleic Acid (DNA) babi dalam bahan ramuan ( Whole Egg Powder dan Whole Milk Powder ) yang digunakan syarikat tersebut.

Terpaksa Kena Nikah, Tapi Belum Bersedia

Seorang lelaki lewat 20-an, sudah macam terpaksa kena nikah. Bagaimanapun dia belum bersedia sangat terutama dari segi kewangan. Bila ditanya, macam mana yang dikatakan terpaksa tu, katanya atas desakan keluarga perempuan.

Bila ditanya lebih lanjut lagi, bagaimana desakan itu, maka terdedahlah rahsia yang dia telah buncitkan perempuan tu 20-an. Katanya dah masuk 4 bulan mengandung luar nikah. Dulu sama-sama sedap-sedap buat kerja kat hotel, sekarang mula rasa siksaannya.

Salah Memang Salah

Masalah memang masalah, salah pun memang salah. Lelaki dan perempuan sama-sama salah, mereka dah terlanjur dan berzina, dia tahu berzina itu dosa besar. Pulak tu, perempuan tu pun dah mengandung dan apa nak buat sekarang ?

Keluarga Perempuan Tahu

Dah tak boleh disorok lagi. Keluarga perempuan pergi serang dia di kilang tempat kerja lelaki. Habis tak tentu arah dibuatnya dan heboh satu tempat kerja kerana kejadian tu. Bos dia panggil dan lelaki ini kata dia nak selesaikan dengan sebaiknya masalah hidupnya ini.

Nak Nikah

Sekali fikir, dia nak nikah kalau boleh secepat mungkin seperti desakan keluarga perempuan itu. Dia akur, menyesal memang menyesal, tapi benda ini sudah berlaku atas dirinya.

Masalahnya

Masalahnya, lelaki ini tidak bersedia lagi. Gajinya tak berapa ratus sangat, kerja kilang. Tolak duit hutang moto, sewa rumah, duit rokok, minyak moto dan lain-lain termasuk duit topup prepaid, setiap bulan gajinya tak cukup. Perempuan itu juga dulu kerja kilang, sekarang dah berhenti dan duduk rumah mak ayah tanggung.

Jadi kalau berkahwin, lelaki fikir kalau nikah, nanti bebanan ekonomi cukup berat. Ditambah lagi harga barang makin naik, turun tidak.

Tolonglah Bantu

Kepada pembaca blog saya, terutama pembaca setia saya, tolonglah bantu masalah sahabat kita ini. Dia sedang ada masalah besar....

"Patutkah nikah ? Sedangkan belum sedia.". Ini persoalan lelaki ini.

Awal-awal saya pesan, jangan menyalahkan dia, betul dia memang salah, dia berzina sampai dapat hasilnya di perut aweknya itu.

Dipersilakan komen....

22 Mei 2011

Saya Pernah Gila Memancing....

Tadi saya ke Muar. Di masjid Muar, di belakang tu nampak ramainya  orang memancing. Rupanya ada pertandingan memancing. Tak tengok lama pun, bimbang nanti boleh timbul seronok pulak. Sempat saya ambil gambar.

Saya dah bersara memancing dah dalam 4 tahun. Best giler memancing ni. Nak cerita seronoknya memancing, tak boleh nak cerita. Sebab orang bukan kaki pancing tak akan tahu nikmatnya memancing ni.  Jadi, terlalu amat susah, sukar dan payah saya nak ceritakan. Nak kata untung dapat ikan, tak untung juga.

Buat masa ni saya dah taknak mulakan memancing, bimbang nanti tak boleh tinggal. Tak tahulah bila nak mula memancing semula. Tapi nanti kalau dah mula, susah nak berhenti.

Saya Pernah Gila....

Satu saja saya nak cerita, masa tu saya ada masalah yang kira macam berat juga. Masa itu saya menyendiri dan semacam tak mahu diganggu. Saya pergi memancing sorang-sorang. Lokasinya jangan ditanya. Jauh berpuluh dan beratus km pun saya sanggup ke sana seorang diri. Masa memancing tu amat menyeronokkan dan lapang fikiran.

Memancing ni tak perlu kawan, sebab kawan kita ramai dalam air tu. Ikanlah kawan kita. Dia sanggup jadi kawan kita dan sesiapa yang nak berkawan dengan ikan.

"Wahai ikan.... engkau lebih memahami perasaanku. Lebih baik aku berkawan dengan engkau. Engkau tak ada perasaan dan hidup kau tenang dan bahagia. Tak macam manusia".

"Hai ikan... kau memang ikan. Aku bukan ikan, aku manusia. Manusia ni  nampak macam bahagia tapi belum tentu bahagia. Berkawan dengan manusia, masa kita senang ramai kawan, kalau susah kawan mula lupa kawan"

Itu adalah antara perbualan saya dalam hati dengan ikan tu. Walau pun kekadang tak dapat ikan, tapi saya tetap bahagia memegang pancing dan tengok kocakan ikan di air. Allah Maha Besar Kekuasaannya. Sehingga memancing ini pun adalah satu jalan mencari ketenangan diri dan melihat kebesaran Allah Taala.

Tak sempat saya nak tanya, siapa yang anjur pertandingan ni dan berapa besar hadiah dia.

Ahli Gusti Macho Man Randy Savage Maut Kemalangan

Peminat wresling era 80-an dan awal 90-an seperti saya tentu mengenali Macho Man Randy Savage. Dia seangkatan dengan Hulk Hogan, Roddy Piper, Andre The Gaint, Superfly Jimmy Snuka dan lain-lain.

Era 90-an barulah muncul Undertaker, Stone Cold, Bret Hart, Triple H yang mula mencipta nama. Pada saya, perlawanan antara Stone Cold dan Bret Hart dalam wreslemania tahun 90-an adalah aksi terbaik wresling yang saya tengok. Stone Cold tewas dan berdarah di kepala dan darah menitik. Bila ditengok berulang-ulang, darah ini bukan lakunan. Perlawanan ini boleh dilihat semula dalam youtube.

Dulu saya zaman sekolah minat wresling WWF ni, ternanti-nanti rancangan TV setiap minggu. Wresling dulu best, bukan macam sekarang, sekarang nampak macam lakonan dan nak menarik penonton saja.

Macho Man  maut dalam kemalangan jalan raya di Florida, semalam dalam usia  berusia 58 tahun.

Roddy Piper


Hulk Hogan


Andre The Gaint


Suprerfly Jimmy Snuka

Berjudi dihukum Sebat



Seramai 14 orang yang didapati melanggar peraturan ketat Islam di wilayah Aceh, Indonesia kerana berjudi disebat di khalayak ramai di Langsa, Aceh Timur, kelmarin. Ketua jabatan jenayah umum di Pejabat Pendakwa Raya Langsa, Irvon berkata, setiap seorang pesalah itu disebat sebanyak enam kali di dataran Masjid Darul Falah.

Mengikut kanun 2003 atau undang-undang kecil Islam, kesalahan berjudi membawa hukuman maksimum 12 sebatan dan minimum satu sebatan. Irvon berkata, kesemua pesalah ditahan oleh polis dari pelbagai kawasan di daerah ini kerana bermain nombor ekor.

Menurutnya, pada 12 Mei lalu, sekurang-kurangnya tujuh orang yang melanggar larangan berjudi turut disebat sebanyak 12 kali. Undang-Undang Syariah buat pertama kalinya dilaksanakan di Aceh pada Ogos 2003 selepas wilayah ini memperolehi pemerintahan autonomi.

21 Mei 2011

Tanah Runtuh di Kajang


Kira-kira 20 kanak-kanak dikhuatiri tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di Rumah Anak-anak Yatim dan Anak-anak Hidayah Madrasah Al-Taqwa di Jalan Sungai Semungkis, Kampung Gahal di Hulu Langat hari ini.

Setakat pukul 5.30 petang ini, lapan daripada mereka telah dikeluarkan daripada runtuhan itu oleh pasukan mencari dan menyelamat yang terdiri daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat, polis dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM).

Seorang daripada mereka meninggal dunia dan dihantar ke Hospital Ampang untuk bedah siasat manakala tujuh lagi yang cedera dihantar ke Hospital Kajang untuk rawatan. Difahamkan ketika kejadian kira-kira 2.30 petang tadi, semua kanak-kanak itu sedang berada di dewan makan rumah anak-anak yatim itu

20 Mei 2011

Lelaki Pakistan Penjual Aiskrim, Nikah Dengan Gadis Tempatan

Selama 4 tahun di negara kita, seorang lelaki Pakistan lewat 20-an, masih bujang akhirnya bernikah dengan wanita tempatan 20-an. Kerja jual aiskrim, pusing-pusing dari rumah ke rumah orang setiap hari naik moto. Hari ini selamat bernikah di sini.

Tak tanyalah pulak bagaimana dia berkenalan dengan perempuan tu. Tapi rasanya macam cerita Sudah Nasibku Mat Burger iaitu masa Mat Burger berkenalan dengan Yanti di gerai burger. Yang cerita ni pulak, mungkin kenal di depan rumah masa jual aiskrim. Hehehe...

Kes Kopi Disyaki Ada Campuran Babi di Kluang, didakwa di Mahkamah


KLUANG: Tiga bersaudara yang juga pengarah syarikat Rail Passion Sdn Bhd, pengeluar Kluang Rail Coffee mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, semalam, atas dua pertuduhan menjual kopi mengandungi gelatin babi di premis mereka tanpa melabelkan kewujudan asid deoksiribonukleik (DNA) haiwan itu pada pembungkusan.

Selain tiga pengarah syarikat itu, dua pemilik kilang dan syarikat yang membungkus kopi campuran untuk jualan syarikat Rail Passion Sdn Bhd turut didakwa di mahkamah sama, semalam. Bagaimanapun, tiada pengakuan bersalah direkodkan dalam perbicaraan semalam. Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Rasidah Abd Radzaz di hadapan Majistret Norhabsarina Ayob manakala lima individu itu diwakili peguam S Selvarajah.

Berdasarkan pertuduhan pertama, tiga pengarah terbabit, didakwa menjual serbuk kopi dalam bungkusan mengandungi DNA babi, antara jam 3 petang hingga 4 petang di salah sebuah premis mereka di Jalan Tasik di sini, 25 Mac lalu.

Mereka didakwa menjual serbuk kopi dalam bungkusan belum dibuka itu kepada pegawai Jabatan Kesihatan Johor, Amezatul Aida Mohd Daim dan selepas dianalisis Jabatan Kimia Petaling Jaya, Selangor, didapati terdapat DNA babi di dalam serbuk kopi itu.

Berita ini disiarkan oleh beberapa akhbar harian hari ini, 20 Mei 2011.

19 Mei 2011

Remaja Bawa Balik Awek Ke Rumah Sewa


Lelaki 20 tahun, kerja jurujual di pasaraya dan perempuan 19 tahun, belum kerja. Sebelum balik kerja, perempuan datang ke tempat kerja lelaki dalam jam 10.00 malam. Mereka kemudian pergi makan bersama naik moto.

Sambil makan, lelaki runding untuk ajak perempuan supaya ke rumahnya. Katanya, kawan dia tak ada di rumah dan dia sorang saja ada kat rumah tu. Dalam jam 11.00 malam, mereka berdua balik ke rumah lelaki, rumah tu rumah flat.

Sedang mereka berada dalam rumah itu, penguatkuasa dapat aduan dari orang awam mengadu tentang kes itu. Dalam jam 3.30 pagi penguatkuasa datang ke rumah itu buat pemeriksaan. Mereka ditahan kerana kesalahan khalwat oleh penguatkuasa agama.

18 Mei 2011

Jangan Cepat Percaya Kononnya Suami Dah Nikah Lagi


Kalau ada orang menyampaikan satu berita, siasat dulu kebenarannya. Ceritanya bukan cerita biasa, tapi bisa mencetuskan huruhara dalam rumahtangga. Katanya suami dia nikah lagi satu tapi tak pernah tengok surat nikah tu. Bila si isteri tanya suami, suami nafi sekeras-kerasnya. Tapi bila ditanya, dia kata dia lebih kenal suami dia dan dia tahu yang suaminya dah banyak berubah.  Yer le, dia lebih kenal suami dia, saya tak kenal pun. Tapi setakat kata dia lebih kenal saya tak kenal, bukanlah maknanya vcerita tu betul.

Pertama, orang yang dengar cerita itu mungkin dari sumber yang tidak sahih, kemudian dijaja dan diadun supaya lebih sedap.

Kedua, bila ditanya dari mana cerita ini, katanya dari sumber yang dipercayai, tapi bila ditanya katanya perlu dirahsiakan. Tak apalah kalau nak rahsia. Tapi nak rahsia sangat kenapa sampai taknak kasi tahu pihak berkuasa. Kita pun terima aduan akan merahsiakan identiti pengadu tu, jadi kenapa nak takut.

Ketiga, tahu cerita saja dan minta pejabat agama siasat. Nak siasat apa ? Bila ditanya lokasi, bila masa bernikah, nama isteri baru, pekerjaan perempuan itu, bila masa dia berjumpa dan lain-lain soalan, isteri tu tak kasi tahu. Kalau tak boleh berikan kenyataan yang tepat, bagaimana kita nak bantu.

17 Mei 2011

Orang Berlakun Drama kat Persiaran Tanjong

Tadi ke Persiaran Tanjong JB, tengok ada orang ramai-ramai. Ingat ada apa, rupa orang berlakun. Biasalah, dah beberapa kali tengok ada buat drama kat situ. Nasib baik saya tahu itu orang berlakun, kalau tak tiba-tiba saya masuk campur selamatkan orang tu macam cerita Seniman Bujang Lapuk.

Nampaknya ada adegan macam nak terjun bangunan, entahlah. Yang pasti ada benda apa benda orang panggil tu, yang orang buat mengecat bangunan tu. Saya tengpk pun kejap jer, banyak lagi kerja lain. Tapi yang pasti, tak ada adegan nangis dan nyorok-nyorok dalam semak macam filem Hindustan tu.

16 Mei 2011

16 Mei : Berita Baik Sempena Hari Guru 2011

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan kaedah baru kenaikan pangkat khusus kepada guru dengan mengkategorikan mereka mengikut empat lapisan jawatan iaitu Guru Biasa, Guru Kanan, Guru Wibawa dan Pendeta Guru. Katanya, empat lapisan jawatan itu akan membolehkan peningkatan ke gred yang lebih tinggi berdasarkan kecemerlangan.

"Melalui konsep Guru Wibawa dan Pendeta Guru ini, laluan kerjaya guru dalam bidang pengajaran dan pembelajaran akan diperluaskan sehingga mencapai ke Gred 54 dalam tempoh perkhidmatan 25 tahun dengan memenuhi tahap kecemerlangan serta syarat-syarat lain yang ditetapkan Lembaga Kenaikan Pangkat Perkhidmatan Pendidikan," katanya dalam rakaman video yang ditayangkan pada sambutan Hari Guru Kebangsaan, di sini hari ini.

Perdana Menteri mengumumkan, semua guru yang menunjukkan kecemerlangan terkemuka mutunya seperti ditetapkan oleh Lembaga Kenaikan Pangkat Perkhidmatan Pendidikan boleh mencapai Gred Khas C dan ke atas sebelum bersara.

Katanya lagi, bagi guru-guru yang tidak dinaikkan pangkat ke Gred Khas, mereka masih berpeluang menikmati pergerakan gaji tahunan.
"Untuk ini, kerajaan bersetuju menambahkan lagi jawatan Gred Khas C bagi laluan pengajaran dan pembelajaran sebanyak 100 peratus dengan menambah sebanyak 72 jawatan berbanding 36 jawatan sedia ada di bawah konsep Guru Wibawa dan Pendeta Guru," katanya.

Najib juga mengumumkan, kerajaan bersetuju menaikkan gred jawatan semua pengetua sekolah menengah Gred DG48 ke Gred DG52 yang melibatkan 1,228 jawatan. Katanya, semua guru penolong kanan (GPK) pentadbiran, hal ehwal akademik dan kokurikulum sekolah menengah Gred DG44 dinaikkan ke Gred DG48 dan ini melibatkan 6,585 jawatan.

"Seterusnya, semua GPK pentadbiran, hal ehwal akademik dan kokurikulum di sekolah rendah kluster dinaikkan dari Gred DGA32 ke Gred DGA34 yang melibatkan 99 jawatan," katanya.

JAKIM Kesan 2 Bahan Buat Kek dan Roti ada DNA Babi


PUTRAJAYA: Mesyuarat Panel Pengesahan Halal Malaysia minggu lalu menolak permohonan Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) sebuah syarikat pembekal bahan membuat kek, roti dan pastri selepas mendapati ia mengandungi DNA babi dalam dua ramuan yang digunakan oleh syarikat itu.

Dua ramuan terbabit ialah ‘Whole Egg Powder’ dan ‘Whole Milk Powder'. Semua pemegang atau pemohon baru yang menggunakan produk syarikat terbabit diminta menukar produk itu kepada produk lain yang memiliki sijil halal yang diiktiraf.

“Mereka juga diminta mengemukakan resit pembelian produk baru daripada pembekal yang memiliki sijil halal yang diiktiraf,” katanya dalam kenyataan yang disiarkan di laman web, semalam.

Selain itu, pemegang dan pemohon baru juga diminta menjalankan proses samak dan mengemukakan bukti surat akuan semak daripada pihak Jabatan Agama Islam Negeri. Justeru, orang ramai dinasihatkan supaya melayari laman web http://www.halal.gov.my/ untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai syarikat yang memiliki SPHM.

Berita ini dimuatkan dalam akhbar Berita Harian hari ini.

Hakim Perintah Anwar Ibrahim Membela Diri Kes Liwat


Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah hari ini memerintahkan Datuk Seri Anwar Ibrahim membela diri terhadap tuduhan meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari. Perbicaraan ditangguhkan sehingga 6 Jun 2011.

Sambungan Perbicaraan Kes Liwat Anwar Ibrahim Hari Ini


Berita yang menjadi tumpuan hari ini berkaitan perbicaraan kes liwat Dato Seri Anwar Ibrahim. Iaitu sama ada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur akan memerintahkan Dato Seri Anwar Ibrahim untuk membela diri ataupun melepaskan daripada tuduhan liwat.

15 Mei 2011

Rumah Lelong Episod 9 (Simpati Dengan Tuan Rumah)


Dari rumah saya di Persiaran Tanjong, pagi tu ronda-ronda kat satu taman tak jauh dari situ selepas pergi kedai mamak. Sampai di satu rumah tu, nampak satu iklan terlekat kat pintu pagar. Apa yang saya nampak, nampaknya kertas tu baru saja ditampal. Saya berhentikan kereta dan turun dan lihat di pintu pagar rumah tu.

Alamak, lelong rumah tu dalam RM 110,000, murah sangat. Itu rumah teres bukan kondo atau pangsapuri. Saya pernah tanya dulu dalam tahun 2003, rumah kat situ harga lebih RM 200,000 orang nak jual. Sekarang saya anggar harga dalam RM 150,000. Saya tulis butir-butir berkenaan lelong iaitu tarikh lelong, syarikat yang melelong dan  nombor telefon pelelong. Kemudian saya ambil gambar pakai handphone murah saya.

Kawan Sepejabat

Masa tengok rumah tu, kat sebelah rumah tu, saya ternampak kereta yang saya biasa lihat iaitu kereta kawan sepejabat saya. Baru saya ingat, dia beli rumah sebelah rumah tu dalam setahun yang lepas. Tapi saya buat senyap saja, tak bising-bising, nak masuk rumah lelong kenalah senyap-senyap.

Petang tu, saya rasa nak pergi tengok sekali lagi rumah tu. Nak betul-betul puashati sebab congak-congak, rasa saya nak masuk lelong seminggu lagi. Tapi, bila sampai kat rumah tu, kertas tadi dah tak ada. Dan didapati ada kereta dalam pagar dan pintu terbuka. Dari yang saya lihat, itu rumah keluarga sebab banyak kasut, ada basikal budak dan baju bersidai. Rasanya tuan rumah tu yang koyakkan.

Tanya member

Esoknya, Isnin saya jumpa member kat pejabat tu kat kantin. Tanya dia, konon-konon nak cari rumah sewa kat sekitar rumah dia tu. Dia kata tak ada kosong dan payah rumah situ nak kosong. Saya tanya rumah dia, beli berapa ribu ? Dia kata, semua sekali gedebak gedebuk RM 160,000. Dia buat loan, bayar bulan dalam RM 900 sebulan.

Ermmm

Ermmm, memang member tu tak tahu yang rumah sebelah rumah dia akan dilelong. Saya yang jauh lagi tahu. Maka kira confirm ler saya masuk lelong tu. Mana tahu rezeki saya nanti. Target saya, rumah tu kalau dapat harga tu, nak buat loan macam biasa dan saya kira dalam RM500 sebulan. Sewa di situ dalam RM600 ke atas. Satu lagi, beli jer lepas tu nak jual dalam harga RM 160,000 macam member tu beli. Macam-macam saya fikir walaupun rumah belum dapat lagi.

Hari Lelong

Saya dah sedia dengan bank draf sepuluh persen dan pergi ke Mahkamah Johor Bahru pada hari lelongan. Sampai sana, rupanya bukan satu, tapi lebih 20 biji rumah lelong dan ada juga lelong tanah. Pelelong pula bukan satu, ada dalam 4-5 pelelong. Sampai kat situ, seorang lelaki  menegur saya. Dia dah kenal saya sebab beberapa kali ada di tempat lelong.

Dia tanya saya masuk rumah mana satu. Oleh kerana memang dah kenal dia, saya cerita rumah kat situ. (kalau orang yang baru dan belum ada pengalaman masuk lelong, elok jangan bercerita dengan orang yang kita tak kenal, takut orang tu nak intip rahsia kita). Lelaki tu kira macam ulat juga dalam bab lelong ni. Saya panggil ulat sebab saya tak tahu apa kerja dia. Tapi kadang-kadang berkawan dengan ulat ni ada baik juga.

"Ayyaaa.. itu ramai orang mahu lawan, banyak susah". Kata lelaki tu.

"Betul ker itu macam, tak boleh kasi saya ker ?" Tanya saya.

"Ini rumah tak berani nak tolong, ini ramai orang, ingat sudah sampai 10 orang". Kata dia lagi.

Alamak... 10 orang ? Terkejut juga saya tapi rilek saya. Saya pula jalan-jalan kat orang ramai tu. Sekali-sekali tegur dan tanya dia orang. Saya tanya, beberapa orang mengaku nakkan rumah tu. (Patut jangan mengaku, diam-diam saja).

Lelaki ulat tadi lalu depan saya dan buat isyarat tangan. Saya percaya tandanya, rumah tu akan terus lawan juga dan tak ada orang yang nak menarik diri.

Masuk Mahkamah

Bila masa rumah itu dilelong, pelelong memaklumkan yang rumah tu ada 12 pembida termasuk saya. Alamak, ingatkan 10, rupanya 12. Bila sebut saja rumah yang saya nak lelong tu, tiba-tiba ada seorang lelaki dan seorang wanita berkata-kata sesuatu.

"Tuan hakim, saya mohon rumah saya tidak dilelong, tolonglahh, saya tak ada tempat nak tinggal" Kata lelaki itu. Hakim diam saja, kemudian meminta 12 pembida untuk berkata-kata.

Saya diam saja, lahir rasa simpati pada tuan rumah tu. Yer le, kita masuk lelong bukan sebab tak ada rumah, ada rumah, cuma nak tambah orang rumah. Opsss bukan orang rumah, nak tambah rumah...

Kemudian seorang wanita berkata-kata iaitu mungkin isteri dia.

"Tolonglah, kalau dilelong pun, kami akur. Tapi saya pun masuk lelong untuk beli rumah ini. Harap orang lain berilah saya rumah ini". Kata wanita itu.

Hakim tetap jalankan tugas melelong dan terpulang pada pembida lain kata hakim. Saya diam saja tapi ada beberapa orang yang tak setuju menarik diri dan mahu lawan kalau lelongan diteruskan. Oleh kerana pembida lain hendak teruskan, maka lelongan diteruskan.

Saya Tak Berani Nak Lawan Tinggi-tinggi

Beberapa pembida lawan tak putus-putus. Saya mulanya diam, mungkin saya nak bersuara dipenghujung, mungkin. Itupun kalau harganya munasabah, kalau munaserawak, saya diam sajalah sampai akhir. Rupanya memang lawan cukup kuat, macam ulat kat luar tadi cakap. Kalau tak silap saya, yang dapat tu harga dalam RM 165,000 (lebih kurang, saya lupa yang tepat). Yang dapat tu orang lain, bukan tuan rumah tadi.

Baliklah

Baliklah saya, ambil semula bank draf dan pergi tukar kat bank. Masa bawak kereta tu, terfikir juga saya. Kalau dapatpun rumah tu, hati tak sedap. Rasa macam nak rampas rumah orang pulak rasanya. Itu perasaan saya, walaupun undang-undang tak kata begitu. Itu kali pertama saya tengok lelong rumah orang tuan rumah merayu macam tu.

Dulu Kenapa Sampai Rumah Kena Lelong ?

Tak tahulah lepas ni orang tu duduk mana, rumah dah kena lelong. Tapi terfikir juga saya, dulu sebelum kena lelong, kenapa boleh kena lelong ?... Pertama kenapa tak bayar bank ? Yer le, jawapannya ada masalah kewangan dan tanggungjawab lain termasuk anak sekolah dan bayar kereta.

Kedua, kenapa tak selesaikan masalah kewangannya. Susah sangat, jumpalah saya sebagai perunding kewangan. Dalam kes ini, mungkin tuan rumah boleh jual rumah ini dengan harga yang sesuai dalam RM 150,000 sebelum kena lelong.

Rumah di situ mahal dan harga itu saya percaya ada orang beli. Kalau tak 150,000 pun, boleh kurangkan dalam 140,000. Boleh bayar hutang rumah tu dan ada duit lebih sikit untuk pindah ke rumah sewa sementara waktu. Lepas ni, kalau ekonomi kukuh sikit, belilah rumah lain di JB.

Kereta Wira Terbalik Jalan Kluang- Simpang Renggam



Dalam perjalanan menyampaikan ceramah di Simpang Renggam, dari Kluang selepas penjara ada selekoh tajam berhampiran Taman Rengam Jaya dalam jam 8.00 pagi. Sebuah kereta proton Wira terbalik, mungkin terbabas dan tidak melanggar kenderaan lain.


Masa pulang dan lalu dalam jam 11.00 pagi, kenderaan sudah dialihkan dan kelihatan kesan di penghadang jalan sebelah kiri.

Nasihat saya, berhati-hati di selekoh tajam yang kerap berlaku kemalangan di situ. Ditambah pula kalau kereta kita suspensi kurang baik terutama di selekoh dan tidak membuang. Kereta saya Peugeot 405SR kawalan stering baik di selekoh. Rasa saya, kereta model Eropah semuanya begitu dan baik sewaktu membelok di selekoh. Kereta Honda saya kalau di selekoh ada sedikit rasa kurang yakin kalau bawa laju. Jadi berhati-hatilah dan kurangkan kelajuan.

14 Mei 2011

Berita Baik Sempena Hari Guru 16 Mei Ini...


Wah...Wah... Wahh... nampaknya ada berita baik pada semua guru, orang kat kampung kawan dah heboh. Walaupun musim durian gugur dalam sebulan dua lagi, guru nampaknya dapat dua tiga hari lagi.. Tapi apa yer ? Saya tumpang gembira jer.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dijangka mengumumkan khabar gembira buat warga pendidik bersempena sambutan Hari Guru pada 16 Mei ini.

Lelaki Bawah Umur Nikah Dengan Perempuan Bawah Umur


Kalau seorang bawah umur mungkin perkara biasa. Tapi semalam, saya nikahkan satu pasangan tu kedua-duanya bawah umur dan ada surat kebenaran dari Hakim Mahkamah Syariah. Lelaki umur 17 tahun, bekerja di sebuah kilang dan perempuan umur 15 tahun, tidak bekerja.

Mengikut prosedur, lelaki bawah 18 dan perempuan bawah 16 kalau hendak bernikah perlu keizinan mahkamah.

Temuramah Eksklusif Dengan Bakal Isteri Keempat Salih Yaacub ( Video)



Awas :
Jangan buka video youtube ini depan isteri anda. Apa-apa berlaku, gua tak tanggung Hehehee...

Lelaki 83 Tahun Nikah Poligami Perempuan 75 Tahun


Tersenyum juga saya bila ada satu pernikahan di Kluang, lelaki 83 tahun berpoligami atau nikah lagi satu dengan perempuan 75 tahun. Lupa pulak saya nak siasat isteri pertama dia berapa umur, mungkin dalam lingkungan itu juga. Sebab musabab dia nikah lagi satu pun saya tak tahu sangat. Lelaki ni kerja sendiri, pendapatan dalam RM 4,000 sebulan. Mahkamah setuju lelaki ini nikah lagi.

Terfikir juga saya, kenapa tak cari anak dara atau janda 20-an ker, 30-an ker, 40-an ker, 50- an ker ? Yer le,kata orang (bukan kata  saya), alang-alang nak nikah lagi satu, carilah yang muda punya. Tapi semua itu sudah jodoh yang dah diatur oleh Allah Taala.

(Sebahagian cerita ini telah dibuang kerana dalam proses menulis buku berkaitan poligami. Sila dapatkan buku saya selepas ini. Terimakasih)

12 Mei 2011

Kopi Kluang Cap Televisyen Ada Sijil Halal Yang Sah


Kopi Kluang cap televisyen sudah ada sijil halal dari Jabatan Agama Johor sejak dulu lagi. Kopi keluaran kilang ini terkenal hingga ke tempat lain. Bagaimanapun, selepas isu besar yang membabitkan kopi yang dikesan mengandungi bahan babi di sebuah kedai di Kluang, penjualan kopi cap televisyen ini sedikit merosot. Sebenarnya kedai tersebut bukan mengambil kopi dari kilang ini.

Walaupun bukan kopi cap televisyen yang terbabit tetapi masyarakat membuat anggapan kopi ini turut terlibat. Semua ini tidak betul, dan kilang ini sudah sekian lama mempunyai sijil halal yang sah.

Tadi saya berkunjung ke kilang kopi ini di Jalan Besar, Kluang. Sijil halal yang sah keluaran Jabatan Agama Johor ditunjukkan. Sempat juga melihat bahan-bahan yang digunakan dan cara-cara membuat kopi di kilang ini.