Untuk Memilih Tajuk Artikel Dalam Blog Ini, Sila Taip Perkataan di sini.

04 April 2011

Jumpa NGO Islam Kluang, Isu Kopi Campuran Babi

KLUANG - Pejabat Agama Daerah Kluang mengadakan pertemuan bersama-sama 11 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di sekitar daerah Kluang bagi menjelaskan isu samak yang dilakukan oleh Jabatan Agama Johor (JAJ) ke atas kedai kopi Kluang Rail Coffee pada 31 Mac lalu.

Kadi daerah Kluang, Mohd Khalil Md Noor berkata, pertemuan yang diadakan semalam bertujuan merapatkan hubungan dan membincangkan beberapa isu terutama berhubung isu serbuk kopi yang disahkan oleh JAJ mengandungi gelatin babi.

“Isu ini diperjelas ekoran kemungkinan kebanyakan mereka sebelum ini keliru dan tidak jelas mengenai bidang kuasa JAJ dalam bab halal ini.

“Oleh kerana kekeliruan yang berlaku, mereka sudah menganggap JAJ mempunyai bidang kuasa yang terlalu luas dalam menangani isu ini (isu Kluang Rail Coffee) sdangkan JAJ hanya ada kuasa yang tertentu sahaja,” katanya kepada Sinar Harian.

Mohd Khalil berkata, bukan itu sahaja malah, mereka juga keliru mengenai proses samak yang dijalankan oleh Bahagian Penyelidikan JAJ ke atas kedai berkenaan.

“Alhamdulillah, dengan pertemuan yang diadakan ini saya dapat jelaskan kepada mereka mengenai kewajaran samak ini dalam permulaan proses permohonan sijil halal.

“Saya jelaskan, proses samak ini bukanlah bermakna terus mendapat sijil halal tetapi perlu menjalani beberapa proses lagi sebelum berjaya mendapatkan sijil halal. Jadi, mana-mana pihak tidak boleh mendakwa sudah mendapat sijil halal selagi belum menerima sijil halal yang sah,” katanya.

Mohd Khalil juga berkata, dengan pertemuan yang diadakan ini ianya secara tidak langsung dapat menjawab berhubung mengetahui semua perkara tanpa mahu berselindung lagi.

Beliau berkata, pertemuan harus dibuat setelah NGO tersebut membuat laporan polis kelmarin berhubung isu yang berlaku ini sehingga membabitkan JAJ dalam menangani masalah ini.

“Oleh itu, saya tampil menjemput mereka dan dalam pertemuan ini, saya beri peluang kepada semua untuk meluahkan dan bertanyakan soalan. Alhamdulillah, pertemuan ini berjaya membuahkan hasil dan berjaya memberikan penjelasan terhadap isu Kluang Rail Coffee ini,” katanya.
(Dipetik dari akhbar Sinar Harian 4 April 2011)

..................................................

Kluang Rail Coffee perlu minta maaf

KLUANG - Sebanyak 11 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sekitar Kluang membuat laporan polis semalam berhubung isu kedai kopi Kluang Rail Coffee yang serbuk kopinya mengandungi gelatin babi seperti disahkan oleh Jabatan Agama Johor (JAJ) baru-baru ini. Laporan tersebut dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang semalam dan dihadiri lebih 50 orang.

Antara NGO yang terlibat ialah Persatuan Pengguna Bumiputera Daerah Kluang, Persatuan Kontraktor Melayu Daerah Kluang, Persatuan Peniaga dan Penjaja Kecil Cawangan Kluang, Dewan Perniagaan Melayu Daerah Kluang, Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) daerah Kluang, Persatuan Teksi dan Pemandu daerah Kluang, Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah (Pekida) daerah Kluang, Persatuan Persara Daerah Kluang, Komuniti Radio Amatur Daerah Kluang dan Jemaah Malabar Muslim Negeri Johor.

Pengerusi Persatuan Pengguna Bumiputera Daerah Kluang, Zolkefli Mohd Noor berkata, laporan polis dibuat oleh kesemua NGO ini adalah berhubung isu serbuk kopi mengandungi gelatin babi dan makanan beralkohol yang dijual kepada umat Islam oleh pengusaha kedai kopi Kluang Rail Coffee yang sudah sekian lama di daerah Kluang dan cawangannya.

“Malah kesahihannya juga telah terbukti melalui laporan pemeriksaan di Kluang Rail Coffee yang telah dijalankan bahagian Penyelidikan Agama Johor dan kenyataan yang telah dibuat oleh Pengerusi Jawatankuasa Agama Johor pada 25 Mac lalu serta kenyataan daripada Jabatan Agama Johor.

“Kenyataan tersebut meyakinkan seluruh umat Islam di Kluang bahawa isu ini adalah benar dan bukannya sabotaj. Kami mewakili seluruh umat Islam merasa kesal dan terhina dengan apa yang sudah berlaku serta pengusaha tersebut langsung tidak sensitif kepada Umat Islam,” katanya kepada Sinar Harian.

Zolkefli berkata, laporan polis yang dibuat bertujuan menggesa pihak berkuasa membuat pemeriksaan seterusnya kepada premis yang menjual makanan khususnya pengusaha bukan Islam supaya membuat permohonan sijil halal.

“Saya mewakili NGO yang ada menyeru seluruh umat Islam supaya tidak berkunjung ke restoran-restoran yang tidak mempamerkan sijil halal yang sah.
“Kami juga mendesak Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTM) menamatkan penyewaan premis di Kluang Rail Coffee dan ditenderkan semula atau diberi peluang pula kepada pengusaha Islam,” katanya.

Selain daripada itu, Zolkefli berkata, mereka juga mempertikaikan kewajaran Jabatan Agama Johor (JAJ) menyamak peralatan yang digunakan di tiga premis tersebut sebelum sijil halal dikeluarkan. Malah beliau berkata, proses yang dilakukan itu ditakuti mengelirukan umat Islam di daerah Kluang.
“Kami juga mahu mengetahui apakah tindakan kerajaan dalam isu yang mengguris perasaan seluruh umat Islam supaya perkara ini tidak akan berlaku lagi.

“Bukan itu sahaja, kami juga mahu menggesa pengusaha Kluang Rail Coffee memohon maaf secara terbuka di dalam akhbar dan media elektronik kepada seluruh umat Islam kerana sudah menipu masyarakat Islam di Kluang,” katanya.
(Dipetik dari akhbar Sinar Harian 4 April 2011)


3 ulasan:

  1. ustaz, bagaiman proses pensijilan halal tu? adakah semua wajib melalui proses pengesanan DNA?

    BalasPadam
  2. assalamualaikum ustaz,
    saya ada sedikit kemuskilan. Hajat dihati ingin memberi sedikit persoalan kepada ustaz. Boleh beri email ustaz kepada saya.

    BalasPadam
  3. Email saya BCN3876@yahoo.com seperti yang saya tunjukkan kat sebelah blog ini.

    BalasPadam

Dipersilakan komen.