Untuk Memilih Tajuk Artikel Dalam Blog Ini, Sila Taip Perkataan di sini.

15 Februari 2011

Selamat Menyambut Maulidur Rasul 12 Rabiul Awal 1432 Hijrah


Maulidur Rasul (dalam bahasa Arab bermaksud kelahiran Rasul) adalah hari bersejarah keputeraan junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.  Hari ini jatuh pada hari ke-12 bulan Rabiul Awal sempena kelahiran Nabi yang jatuh pada pada Isnin ( Dari hadith riwayat Muslim, 8/25 ). 12 Rabiul Awal Tahun Gajah juga bersamaan dengan 23 April 571.

Setiap tahun pada hari itu, umat Islam di seluruh dunia akan mengadakan majlis memperingati keputeraan Nabi Muhammad s.a.w dengan mengadakan beberapa acara seperti  ceramah dan sebagainya. Banyak kelebihan dan keistimewaan yang akan dikurniakan oleh Allah kepada mereka yang dapat mengadakan atau menghadiri majlis Maulidur Rasul.

Pelbagai Sambutan

Di negara kita diadakan disetiap peringkat seperti peringkat kebangsaan, negeri dan daerah. Di negeri Johor, sambutannya cukup meriah malah paling meriah berbanding negeri lain. Pagi ini, sebentar lagi akan diadakan sambutan peringkat negeri di Masjid Abu Bakar, Johor Bahru yang akan dihadiri Sultan Johor. Ceramah akan disampaikan oleh Ustaz Hj. Zulkifli bin Muhamad, Kadi Daerah Muar.

 Di peringkat daerah termasuk Kluang diadakan sambutan ini serentak bermula jam 8.00 pagi. Ceramah agama akan disampaikan oleh Ustaz Hj. Yusree bin Ikhsan, Ketua Penolong Pengarah Penyelidikan, Jabatan Agama Johor. Dijangka lebih 10,000 orang akan hadir di Kluang seperti tahun-tahun lepas. Semalam, di Masjid Jamek Kluang diadakan gotong royong memasak untuk hidangan tetamu pada pagi ini. Ratusan masyarakat terlibat sejak dari petang semalam termasuk kerja-kerja melapah lembu dan sebagainya.

Hayatilah Peristiwa Kelahiran Nabi

Dalam kita menyambut Maulidur Rasul, kekadang kita terlupa dengan matlamat sebenar sambutan itu. Jadikanlah Islam sebagai model terbaik kerana Islam itu menyeluruh, bukan sekadar ibadat khusus sahaja tetapi lebih dari itu. Selepas ini sambutan di peringkat mukim, masjid, surau, taman, pejabat, sekolah dan sebagainya. Saban tahun, orang kita tidak pernah tertinggal menyambut Maulidur Rasul dan seolah-olah rasa bersalah kalau tidak menyambut.

Jadikanlah Islam sebagai cara hidup termasuk dalam kehidupan individu, kehidupan berkeluarga, bermasyarakat sehinggalah berpolitik dan pemerintahan negara. Perjuangan mendaulatkan Islam itu belum selesai walaupun Nabi s.a.w sudah lebih 1400 tahun meninggalkan kita. Tidak kira latarbelakang kita, sebagai seorang Islam, kita mempunyai amanah untuk meneruskan perjuangan itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Dipersilakan komen.