Untuk Memilih Tajuk Artikel Dalam Blog Ini, Sila Taip Perkataan di sini.

17 September 2009

MARAH-MARAH DI PEJABAT AGAMA

Dalam jam 2.00 petang, saya menerima panggilan telefon. Pengadu ini, katanya tak puashati dengan staf di kaunter untuk urusan permohonan nikah. Katanya, dia disusahkan dengan banyak perkara semasa menghantar borang permohonan.
Saya terus menghubungi staf saya untuk mendapat penjelasan lanjut. Staf berkenaan menyatakan, perkara penting tidak ada iaitu pengesahan penghulu/ ketua kampung/majikan untuk pengesahan status bujang/ dara/ janda/ duda. Perlu ditekankan di sini, perkara ini sangat penting dalam permohonan nikah. Sekiranya tiada, permohonan tidak dapat diterima. Staf saya sudah memberikan penjelasan dengan baik dan mencadangkan pemohon pergi ke Pejabat Daerah Kluang yang ada bersebelahan dengan pejabat kami untuk bertemu penghulu bagi mendapat pengesahan tersebut.
Saya menyokong tindakan staf saya, cuma pemohon agak kurang sabar dan cepat marah dalam menghadapi situasi seperti ini. Apabila pengadu menelefon saya, saya juga memberikan cadangan yang sama supaya pengesahan tersebut diperolehi terlebih dahulu. Akhirnya dia akur.
Sejak saya bertugas di Kluang, saya telah mengesan 2 kes penipuan status, seorang lelaki yang sudah berkahwin mengaku bujang. Satu lagi  kes melibatkan seorang wanita yang sudah bersuami tetapi mengaku bujang. Saya mengarahkan penguatkuasa membuka fail siasatan kepada semua yang terlibat termasuk pengantin, wali dan penghulu yang membuat pengesahan tersebut.
Saya ingin jelaskan, akuan palsu adalah suatu kesalahan di bawah Enakmen Undang-undang Keluarga Johor, boleh didenda sehingga RM 1000 atau 6 bulan  penjara atau kedua-duanya. Orang-orang lain yang bersubahat dengan kes ini juga boleh didakwa dan dijatuhkan dengan hukuman yang sama.
Jadi dokumen ini cukup penting sebelum permohonan diluluskan.
Inilah gambar pintu depan bilik mahkamah Syariah Kluang. Semua orang yang waktu mula ditangkap memperlihatkan egonya dan cakap besarnya, tetapi egonya terus jatuh bila masuk ke bilik ini. Mereka pasti beranggapan seperti inilah tempat padang mahsyar di dunia.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Dipersilakan komen.