Untuk Memilih Tajuk Artikel Dalam Blog Ini, Sila Taip Perkataan di sini.

17 September 2009

Mahkamah Syariah tangguh hukuman sebat pasangan kekasih

SHAH ALAM 17 Sept. — Mahkamah Tinggi Syariah di sini membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman sebatan enam kali ke atas pasangan kekasih yang merupakan individu pertama dijatuhi hukuman sebatan mengikut Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 kerana cuba melakukan persetubuhan luar nikah di dalam sebuah kereta, Mei lepas.
Hakim Syarie Mohammad Khalid Shaee@ Shaii membuat keputusan tersebut setelah membenarkan permohonan peguam syarie Shahida Elias yang mewakili kedua-dua tertuduh, Mohd. Shahrin Abd. Majid, 29, dan pasangannya Nadiah Najat Hussin, 24.
Kedua-dua tertuduh yang bekerja di syarikat swasta diperintahkan mengemukakan dua penjamin, sementara menunggu proses rayuan tamat dan diarahkan memfailkan rayuan dalam masa 14 hari bermula hari ini. - Bernama
ULASAN SAYA :
Dalam isu ini, ada orang keliru dan beranggapan bahawa Mahkamah Syariah suka mengguhkan hukuman atau sukar sangat untuk melaksanakan hukuman sebat ke atas pesalah. Di sini saya tidak mahu membicarakan isu PELAKSANAAN HUKUMAN SEBAT kerana isu ini ada sedikit sensitif mengenai pelaksanaannya yang dibahas sehingga menjadi isu panas media. Dalam isu sebat terhadap Kartika, adalah lebih baik kita serahkan kepada Mahkamah Syariah di Pahang yang  memutuskan, sebarang perbahasan dalam media tidak akan kemana-mana.
    Dalam isu penangguhan hukuman ini, memang ada peruntukan dalam seksyen 132 (1) (2) dan (3) Enakmen Kanun Prosedur Jenayah Syariah Johor 1997 untuk menggantung hukuman. Dalam kes ini peguam bagi pesalah yang memohon penangguhan hukuman sebat, pesalah ada hak di sisi undang-undang. Selepas  ini, kes akan didengar oleh hakim mahkamah yang lebih tinggi iaitu hakim Mahkamah Tinggi Syariah yang akan memutuskan, sekiranya kes tadi diputuskan oleh Mahkamah Rendah. Kalau kes tadi diputuskan oleh Mahkamah Tinggi, maka kes akan diputuskan oleh Mahkamah Rayuan Syariah.
Sewaktu saya menjadi pendakwa Syarie, daerah Kluang banyak melibatkan kes rayuan seperti ini. Ada beberapa kesalahan membeli atau berada dalam premis judi dan kesalahan khalwat dijatuhkan hukuman penjara oleh Hakim Mahkamah Syariah Kluang. Selepas sahaja hukuman, pesalah akan melantik peguam Syarie untuk menggantung hukuman penjara. Kebiasaannya, hakim boleh menangguhkan hukuman ini selepas dipohon melalui peguam pesalah.
   Bagaimanapun, rayuan lanjut akan diputuskan oleh Hakim Mahkamah Tinggi Syariah pada suatu tarikh lain. Kebiasaannya, hakim Mahkamah Tinggi akan sama ada mengekalkan hukuman yang sebelumnya atau menerima permohonan pesalah untuk mengenepikan terus hukuman penjara atau sebat yang diputuskan oleh hakim sebelumnya. SEKIAN.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Dipersilakan komen.