Untuk Memilih Tajuk Artikel Dalam Blog Ini, Sila Taip Perkataan di sini.

28 September 2009

Broker tanah alim auta



HARIAN KOSMO HARI INI,
KUALA LUMPUR - Sekali imbas, lelaki itu mempunyai perwatakan yang alim iaitu berjanggut, petah berbicara dan menjalankan urusan perniagaan berasaskan sistem akad jual beli selaras dengan tuntutan agama Islam.Namun siapa sangka, di sebalik watak alim itu, dia yang menjalankan kerja sebagai broker tanah dipercayai telah melesapkan wang kira-kira RM1 juta dengan menipu hampir 60 pembeli tanah sejak dua tahun lalu.
Broker tersebut yang lebih dikenali sebagai Johari di kalangan mangsanya dipercayai sangat licik memperdaya individu yang ingin membeli tanah yang dijual secara lot di dua lokasi berasingan di Hulu Langat dekat sini.Lokasi yang dimaksudkan ialah 20 lot tanah di Sungai Gabai dan 40 lot tanah di Sungai Mampir.
Seorang mangsa, Jamal (bukan nama sebenar), 52, memberitahu, beliau sendiri tidak menyangka telah ditipu kerana watak Johari yang baik meyakinkan beliau untuk berurusan dengan lelaki berkenaan.

Ulasan saya:
Apabila saya baca berita ini dalam Harian Kosmo, saya tidak hairan apabila orang mengaku alim atau menonjolkan imej Islam tetapi berniat untuk menipu seseorang. Ramai orang boleh terpengaruh apabila didatangi seseorang yang bersongkok dengan sedikit janggut dan bercakap gaya ustaz. Kalau orang ini datang dengan niat baik, tak apa. Tapi mereka menggunakan imej Islam yang mulia ini untuk memperdayakan orang lain.
.
Sekitar tahun 2000 di Johor Bahru, ada sendikit skim cepat kaya (tapi dia tak mengatakan dia skim cepat kaya) aktif mencari pelanggan. Namanya Faza Amal Sdn Bhd, ada opis yang disewa di Larkin Perdana Johor Bahru. Orang yang mempromosikan skim ini mempunyai imej alim dan warak, memakai kupiah putih, ada janggut dan bercakap ala ustaz. Malah di opisnya itu ada surau, dipanggil orang ramai terutama ahli baru untuk baca yasin dan tahlil di situ.
.
Skim ini dengan melabur sejumlah wang akan dapat 2 kali ganda dalam masa sebulan, contohnya melabur RM1000 akan dapat RM2000 dalam masa sebulan. Ramai orang Melayu yang masuk, termasuk pegawai dan kakitangan kerajaan. Skim ini akhirnya runtuh tidak sampai setahun, ada beberapa orang yang didakwa di mahkamah. Yang kena dakwa adalah orang Melayu tempatan, tetapi orang atas yang berimej alim ini hilang entah ke mana setelah mendapat keuntungan besar dengan sendikit ini. Dipercayai orang-orang atas ini telah menghilangkan diri setelah untung jutaan ringgit.
.
Ada juga orang yang menjalankan sendikit memungut derma kononnya untuk membina masjid, surau, derma anak yatim dan sebagainya. Tidak semestinya derma-derma ini betul disalurkan kepada perkara berkenaan. Kebiasaannya mereka pungut derma untuk masjid bukan di negeri berkenaan, contohnya memungut derma di Johor kononnya untuk membina masjid di Kedah atau Kelantan dan sebagainya. Ada yang datang jumpa saya untuk mendapat sokongan memungut derma. Tapi saya bukan semudah itu untuk beri sokongan,  bimbang nanti surat sokongan saya dijaja ke ke mana-mana.
.
Beberapa tahun lalu, kawan sepejabat saya hampir terpengaruh dengan seorang yang berimej alim  yang memperkenalkan diri sebagai kontraktor kononnya untuk menolong sesama Islam. Kebetulan kawan saya ini sedang dalam proses untuk buat rumah  sendiri di kampungnya. Lelaki ini menawarkan untuk membekalkan barangan lebih murah dari harga pasaran seperti batu bata, mozek, kayu dan atap dengan harga jauh lebih murah dari harga pasaran. Tanpa diduga, lelaki terus menghadiahkan  satu lori kecil bapu pada waktu itu juga untuk meyakinkan kawan saya ini. Kemudian dia  menawarkan untuk membeli barangan lain pula dengan kos puluhan ribu dan kawan saya pada mulanya setuju.
.
Alhamdulillah, kawan saya ini tidak mudah percaya kerana sangat sangsi dengan harga yang sebegini murah. Akhirnya dia berjaya mengesan penipuan lelaki ini selepas diberitahu oleh seorang lelaki yang menasihatinya supaya jangan mudah tertipu. Rupanya lelaki yang datang ini adalah mangsa penipuan oleh orang yang sama dengan taktik licik yang hampir sama. Laporan pun dibuat dan lelaki ini ditahan di lokap, kawan saya juga membantu siasatan kes ini. Orang seperti ini seolah-olah tidak kisah ditangkap atau dilokapkan kerana dia sudah membuat persediaan untuk itu semua. Wang penipuan pun tidak dapat dikembalikan semula. Mungkin dia rasa tiada masalah kalau tidur di dalam lokap kerana hasilnya lumayan dan boleh hidup mewah selepas keluar lokap.

. Jadi, nasihat saya berhati-hati terhadap seseorang yang menawarkan pelaburan, gores dan menang, skim cepat kaya, jualan lansung yang meragukan, saham, pembelian hartanah atau kenderaan dan lain-lain. Tidak kiralah orang itu berwajah alim, berpakaian warak dan berimej ustaz. Menyesal kemudian tiada gunanya.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Dipersilakan komen.